Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan memperkenalkan Pingat Jasa Dikenang bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan di negeri ini memerangi penularan wabak Covid-19. FOTO ihsan Royal Press Office
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan memperkenalkan Pingat Jasa Dikenang bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan di negeri ini memerangi penularan wabak Covid-19. FOTO ihsan Royal Press Office
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan memperkenalkan Pingat Jasa Dikenang, khusus sebagai menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan di negeri ini yang secara berterusan bertungkus-lumus memerangi penularan wabak Covid-19.

Menurut akaun rasmi Facebook baginda,Sultan Ibrahim bertitah pingat berserta surat akuan akan dikurniakan kepada penerima terdiri daripada pelbagai jabatan serta agensi yang secara langsung terlibat dalam penugasan memerangi wabak Covid-19.

"Dalam menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan di Johor, saya berkenan untuk mengurniakan mereka Pingat Jasa Dikenang.

"Teruskan usaha baik anda semua, dan saya harap rakyat jelata terus memberi kerjasama sebaiknya bagi menghalang virus ini dari terus menular," titah baginda.

Terdahulu, Sultan Johor berkenan menerima mengadap Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, hari ini.

Pada pertemuan itu, Rahim turut mempersembahkan contoh Surat Akuan berkenaan kepada baginda.

Warna riben pada pingat itu terdiri daripada putih, merah dan biru menandakan Bendera Johor, manakala di bahagian belakang, terdapat rekabentuk 10 tangan memegang erat di antara satu sama lain menandakan 10 daerah di Johor.

Sultan Johor bertitah, pingat berkenaan akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak di mana ia akan dipilih oleh ketua jabatan atau agensi masing-masing.

"Pingat ini kemudian akan saya sampaikan kepada ketua jabatan untuk diberikan kepada penerima antaranya Jabatan Kesihatan Johor, polis, tentera, bomba dan lain-lain," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 12:44 PM