Datuk Noor Azam Jamaludin.
Datuk Noor Azam Jamaludin.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis negeri ini dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa memantau aktiviti kumpulan yang terbabit dengan fahaman Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di negeri ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi berkata, kumpulan itu dikesan di Selangor tetapi tidak aktif selepas difatwakan haram.

"Polis dan JAIS senantiasa bekerjasama memantau kegiatan mereka. Setakat ini polis belum menerima laporan mengenainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini berhubung fahaman yang bercanggah dengan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Selangor.

Sementara itu, Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad juga mengesahkan pihaknya sedang memantau HTM yang diwartakan haram pada 17 September 2015 itu.

"Taktik kumpulan ini adalah mengedar risalah dan ceramah berkelompok.

"Pada 28 Julai tahun lalu, kami turut menahan beberapa individu yang terbabit dengan (program ceramah dianjurkan oleh Muslimah HTM) di Kompleks PKNS Shah Alam," katanya dihubungi hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi lain termasuk pihak berkuasa agama negeri untuk menyekat fahaman itu.

Katanya, polis menyiasat sekiranya fahaman HTM turut menular ke negeri lain selain Johor dan Selangor.

"Setakat ini fahaman berkenaan menular di Johor dan Selangor. Bagaimanapun, kita akan menyiasat jika fahaman menular ke negeri lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 7:49 PM