UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin. FOTO arkib NSTP
UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin. FOTO arkib NSTP
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Nerus: Semua penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) perlu akur dengan kesulitan dialami susulan arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya mereka tidak hadir ke kampus secara fizikal sebaliknya mendaftar secara dalam talian.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, pihaknya sedia maklum penuntut sudah membuat persiapan termasuk pembelian dan tempahan tiket kapal terbang dan bas selain pembayaran sewa rumah.

"Justeru, kami faham apabila saranan dan arahan supaya mendaftar secara online (dalam talian) yang dikeluarkan tidak disenangi oleh sesetengah pihak termasuk penuntut kerana alasan berkenaan.

"Sebenarnya KPT merancang untuk membenarkan penuntut pulang ke kampus sejak Julai lalu selepas mereka mendesak untuk kembali ke kampus atas pelbagai sebab termasuk suasana tidak kondusif di rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hassan Basri berkata, KPT juga sebelum ini melalui semua universiti mengusahakan bantuan dana bagi pembelian data untuk kegunaan penuntut yang ketika itu belajar secara dalam talian.

"Selepas semua yang diatur dan dirancang dengan teliti sampai ke tahap akhir dan hanya menunggu pelaksanaan sahaja, kita dikejutkan dengan kenaikan kes positif Covid-19 secara mendadak sejak akhir September lalu hingga sekarang.

"Justeru, tindakan KPT menyarankan penuntut mendaftar secara dalam talian dan tidak kembali ke kampus, manakala penuntut baharu tidak hadir secara fizikal ke kampus bagi menangani penularan Covid-19.

"Ia adalah langkah terbaik dan kami simpati dengan nasib segelintir penuntut terpaksa menanggung kerugian kerana tempahan tiket dan bayaran rumah sewa, namun KPT sedang berunding dengan syarikat penerbangan untuk menunda tarikh aktif tiket berkenaan," katanya.

Menurutnya, penularan Covid-19 sukar diramal kerana bergantung kepada keadaan dan situasi terkini.

"Semua pihak perlu mengambil tanggungjawab ketika keadaan meruncing, malah sangat penting untuk berkorban dan menerima segala apa yang berlaku secara rasional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 4:54 PM