AHMAD Masrizal Muhammad. FOTO arkib NSTP
AHMAD Masrizal Muhammad. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad mengesahkan beliau positif Covid-19 selepas ujian kedua dilakukan Rabu lalu, dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Ahmad Masrizal berkata beliau tidak mempunyai sebarang gejala dan ujian pertama yang dilakukan pada 23 September lalu di Kota Kinabalu ketika kempen pilihan raya negeri Sabah menunjukkan keputusan negatif.

"Bagaimanapun selepas keputusan kedua yang mendapati positif, saya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada Khamis dan kini, alhamdulillah saya sihat.

"Sejak ujian pertama dilakukan, saya tiada sebarang tanda-tanda demam dan batuk. Cuma sebelum masuk pejabat Isnin lalu, saya telah mengambil inisiatif sendiri untuk buat ujian swap sekali lagi dan mendapati keputusannya positif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti politik turut disahkan positif Covid-19 antaranya Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Razlan Muhammad Rafii.

Tambahnya, ketika menunggu keputusan ujian pertama dan kedua, dia telah menjalani kuarantin bersendirian di rumah.

"Saya mengharapkan agar kita semua tidak mengambil mudah ancaman Covid-19 ini. Jika ada peluang untuk buat ujian kedua atau ketiga pergilah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 2:48 PM