UIAM Kuantan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
UIAM Kuantan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi semua kemasukan penuntut baharu dan lama sesi akademik 2020/2021 ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Pengarah Kampus UIAM Kuantan Prof Dr Kamaruzzaman Yunus berkata, pengurusan universiti memutuskan pendaftaran pelajar hanya dilakukan secara dalam talian.

Katanya, seramai 803 pelajar ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di UIAM Kampus Kuantan pada sesi kemasukan kali ini, namun mereka disaran menangguhkan cadangan untuk datang mendaftar yang sepatutnya diadakan hari ini.

"Sesi akademik 2020/2021 akan diadakan secara dalam talian sepenuhnya berikutan wabak Covid-19 yang kembali menular semula di negara ini sejak kebelakangan ini.

"Kita prihatin serta memandang serius terhadap kebimbangan yang disuarakan golongan pelajar, kakitangan universiti, ibu bapa dan masyarakat berikutan peningkatan kes Covid-19 yang berlaku ketika ini.

"Keprihatinan serta kepekaan semua pihak dalam menjaga hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan pelajar termasuk masyarakat amat diperlukan dalam menghadapi situasi semasa berkaitan pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, Pejabat Pengarah UIAM Kampus Kuantan akan terus memantau perkembangan semasa pandemik Covid-19 serta arahan terkini dikeluarkan pihak berkuasa serta Bilik Gerakan Covid-19.

Dr Kamaruzzaman berkata, UIAM Kampus Kuantan akan membuat pengumuman dari semasa ke semasa berkaitan sesi akademik, pendaftaran dan sebagainya bagi memberi lebih keselesaan kepada semua pihak.

"Nasihat saya kepada pelajar supaya bersabar dan memberi tumpuan terhadap pembelajaran secara dalam talian, kemudahan yang ada perlu digunakan sepenuhnya.

"Keputusan tidak membenarkan pelajar mendaftar untuk menyambung pengajian masing-masing bertujuan mengelak perkara buruk berlaku," katanya.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh berhubung dengan Bilik Gerakan Covid-19 UIAM Kampus Kuantan pada waktu pejabat di talian 09 5704161, Pusat Sehenti Pelajar 09 5704037/4086/4088 dan hotline 5705555.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 9:50 AM