GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan negeri akan mengadakan saringan bersasar secara percuma kepada semua rakyat Selangor yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 September lalu, bermula Ahad ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan itu diambil bagi membantu Kementerian Kesihatan KKM) membuat pengesanan Covid-19.

"Saringan ini boleh dilakukan di semua cawangan Selcare Clinic milik anak syarikat Kerajaan Negeri, Selgate Healthcare Sdn Bhd dengan mengemukakan dokumen penerbangan pulang dari Sabah serta bukti pemastautin tetap di Selangor seperti bil air, bil elektrik.

"Orang ramai diminta hadir ke klinik terdekat atau seperti dalam senarai di lampiran atau layari https://selcareclinic.com/our-clinics/ bermula Ahad ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Amiruddin berkata, aturan khas turut disediakan untuk melakukan saringan di dewan orang ramai daerah Kuala Selangor pada suatu tarikh dan lokasi yang akan dimuktamadkan kemudian.

Sementara itu, Amirudin berkata, semua kelab malam dan bar serta restoran berkonsepkan bar di seluruh Selangor akan dihadkan operasi sehingga jam 11 malam berkuat kuasa esok.

Menurutnya, jika gagal dipatuhi lesen perniagaan akan dibatalkan serta-merta.

Dalam pada itu, beliau berkata, Selangor sudah merangka pendekatan terbaik sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan gelombang ketiga penularan Covid-19.

Katanya, kerajaan negeri percaya dengan langkah bersesuaian, Selangor akan berjaya mengawal keadaan walaupun jumlah kes harian mencapai angka dua digit untuk lima hari berturut-turut.

"Saya mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor (MKN) petang ini dan Mesyuarat Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) semalam secara dalam talian.

"Ia bagi mendapatkan gambaran yang jelas dan tepat serta memutuskan beberapa ketetapan.

"Antara ketetapannya adalah waktu beroperasi Bilik Gerakan Covid-19 di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Bangunan SUK dilanjutkan sehingga jam 7 malam bagi membolehkan Kerajaan negeri membuat pemantauan serta meneliti perkembangan terkini Covid-19, " katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengambil langkah segera dengan menambahbaik aplikasi SELangkah, seperti pengguna boleh mendapatkan maklumat premis yang dilaporkan terdedah kepada Covid-19.

"Maklumat lain termasuk tarikh sanitasi premis berkenaan bagi memastikan kunjungan terus selamat.

"Pengguna juga boleh membuat semakan silang sama ada pengguna ada mengunjungi premis berisiko dalam tempoh inkubasi.

"Malah, pada masa akan datang, pengguna boleh memeriksa sama ada mereka terdedah kepada individu lain yang disahkan menghidap Covid-19," katanya.

Katanya, bagi melandaikan keluk Covid-19, Selangor akan mewujudkan empat pusat tahanan sementara pendatang asing tanpa izin (Pati) di beberapa lokasi bersesuaian bagi mengurangkan risiko kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan.

Dalam pada itu katanya, sebarang persidangan dan perhimpunan secara beramai-ramai tidak digalakkan dan had maksimum pada satu-satu masa adalah seramai 250 orang.

"Selangor pernah mencatatkan jumlah kes yang tinggi pada awal pandemik ini, namun kita berjaya mengawalnya.

"Ini membuktikan kaedah sebelum ini berkesan sekiranya ia disokong penuh oleh masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 9:30 PM