Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Majlis penghantaran Kontinjen pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) 850-8 ke Lubnan berlangsung dalam suasana berbeza tanpa dihadiri ahli keluarga pegawai dan anggota susulan pandemik Covid-19.

Majlis berkenaan dilaksanakan dalam keadaan 'suram' bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagaimana ditetapkan kerajaan.

Panglima Angkatan Tentera TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, semua pegawai dan anggota yang akan berlepas ke sana dan pulang ke tanah air juga wajib mematuhi SOP ditetapkan selain dikuarantin.

"Semua pegawai dan anggota (MALBATT 850-7) yang tiba dari Lubnan kelak akan dikuarantin selama dua minggu.

"Begitu juga pegawai dan anggota yang ke sana, akan kuarantin dua minggu. Selepas itu baru tugas-tugas di sana akan bermula," katanya pada Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-8 ke Lubnan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz di Pangkalan Udara Subang di sini, tadi.

Kumpulan Pertama MALBATT 850-8 ke Lubnan itu berlepas menaiki pesawat Malaysia Airlines pada jam 3 petang tadi.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, MALBATT 850-8 membabitkan empat kumpulan membabitkan 80 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Awam Kewangan dari Kementerian Pertahanan.

"Penghantaran Kumpulan Pertama membabitkan 215 pegawai dan anggota diketuai Komander MALBATT 850-8, Kolonel Azuddin Hassan membabitkan misi bermula 14 November hingga 14 November tahun depan.

"MALBATT 850-8 akan meneruskan misi UNIFIL di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL. MALBATT 850-8 akan ditempatkan di Kem Ma'rakah serta Kem Tibnin dan akan melaksanakan tugas-tugas operasi diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.

"Penghantaran kumpulan ke dua MALBATT 850-8 akan dilaksanakan pada 15 Oktober ini, kumpulan ke tiga pada 29 Oktober dan penghantaran kumpulan ke empat pada 15 November depan," katanya.

Katanya, MALBATT 850-8 menjalani latihan penyesuaian selama tiga bulan merangkumi sebulan latihan perkhidmatan tunggal dan dua bulan latihan integrasi atau Force Integration Training (FIT) di bawah kawal selia Markas Angkatan Bersama bertempat di Perkampungan MALBATT, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Pada majlis itu juga, pemakaian beret PBB diadakan secara simbolik dan dipakaikan kepada Komander MALBATT 850-8, wakil ketiga-tiga perkhidmatan (TD,TLDM, TUDM), wakil ABDB, wakil anggota wanita dan anggota lain-lain pangkat (LLP) ATM.

Sementara itu, Azudin ketika ditemui sebelum berlepas berkata, beliau ke Lubnan kali ini dalam suasana berbeza di mana Covid-19 satu cabaran baharu bagi mereka malah perkara itu tidak dapat dielakkan.

Sebahagian Pasukan MALBATT 850-8 UNIFIL tidak dapat menahan rasa sebak ketika membuat panggilan video menghubungi keluarga sebelum berlepas ke Lubnan. FOTO FAIZ ANUAR
Sebahagian Pasukan MALBATT 850-8 UNIFIL tidak dapat menahan rasa sebak ketika membuat panggilan video menghubungi keluarga sebelum berlepas ke Lubnan. FOTO FAIZ ANUAR

"Sebelum terbang pun kami semua buat saringan dan setiba di sana kami juga akan dikuarantin 14 hari, sebelum kami mengambil alih tugas di sana. Cabaran berdepan dengan pandemik Covid-19 di sana amat sukar bagi kami.

"Sepanjang latihan juga agak mencabar sebab latihan digubal mengikut SOP yang ditetapkan, norma baharu dalam latihan kami.

"Selain merawat anggota di sana, kami juga akan memastikan penularan Covid-19 di dalam kem tidak berlaku. Kami akan ikut SOP yang ditetapkan untuk dilaksanakan di kem kami di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 7:53 PM