BENIH padi yang dirampas Bahagian Penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras di sebuah kedai racun di Alor Setar semalam. FOTO IHSAN MAFI
BENIH padi yang dirampas Bahagian Penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras di sebuah kedai racun di Alor Setar semalam. FOTO IHSAN MAFI
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kedai racun jual benih padi. Taktik itu digunakan sindiket untuk menyembunyikan bekalan benih untuk pesawah bagi mengelakkan diserbu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, helah itu terbongkar selepas Bahagian Penguatkuasa Kawalselia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melakukan serbuan di Alor Setar, Kedah, semalam.

Dalam serbuan itu, anggota penguat kuasa merampas lebih 1.2 tan benih padi tidak sah bernilai bernilai RM2,520 yang dijual di kedai racun terbabit.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Azman Mahmood berkata, pembongkaran itu hasil maklumat awam mengenai aktiviti penjualan benih padi sah di premis berkenaan.

"Sindiket ini menyembunyikan benih dengan tujuan untuk menaikkan harga di pasaran sedangkan mereka mendapat subsidi kerajaan.

"Jadual penanaman sudah bermula, namun benih tidak sampai kepada pesawah dan kita dapat kesan berlaku sesuatu di peringkat bawahan.

"Ia sudah tentu menjejaskan penanaman dan seterusnya memberikan masalah kepada jumlah pengeluaran padi di dalam negara," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, bekalan benih padi sedia ada adalah mencukupi, namun segelintir ejen cuba mengambil kesempatan untuk memanipulasi harga dengan menyorokkan bekalan.

Katanya, masalah itu menimbulkan rungutan dalam kalangan pesawah kerana mereka berdepan masalah eksploitasi benih padi setiap kali tiba musim.

"Semua benih padi berkenaan disita untuk siasatan mengikut Perkara 2 Peraturan-peraturan Kawalan Padi Dan Beras (Pelesenan Pembeli Padi) 1996," katanya.

Situasi itu menimbulkan 'permainan' harga sehingga membebankan pesawah dan difahamkan ia dijual mencecah sehingga RM60 sekampit (20 kilogram) berbanding harga asal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 3:56 PM