AZHAR Jusoh (kanan) menyerahkan sumbangan ikan daripada pengusaha kepada petugas barisan hadapan di Jelebu. FOTO Abnor Hamizam
AZHAR Jusoh (kanan) menyerahkan sumbangan ikan daripada pengusaha kepada petugas barisan hadapan di Jelebu. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Pejabat Perikanan Daerah Jelebu mengambil inisiatif mengadakan Projek Perintis Ekonomi Tambahan (PPET ) bagi masyarakat Orang Asli di daerah ini.

Sebagai permulaan PPET akan dilaksanakan di Kampung OA Ulu Lakai, Simpang Durian membabitkan penyertaan 10 peserta.

Pegawai Perikanan Daerah Jelebu, Mohd Azhar Jusoh berkata setiap peserta akan menerima 2,000 ekor anak ikan keli bagi diternak di kolam milik mereka.

Menurutnya, hasil tangkapan ikan bagi pusingan pertama ini disasarkan bagi kegunaan keluarga penternak itu sendiri berikutan mereka baru belajar cara menternak ikan berkenaan.

"Setiap anak ikan yang dilepaskan ke dalam kolam akan matang dalam tempoh dua hingga tiga bulan dan boleh mencecah berat sehingga 300 kilogram.

"Peserta juga akan diajar bagaimana untuk menternak ikan keli sekaligus membolehkan peserta meningkatkan ekonomi keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Mohd Azhar berkata kolam yang digunakan adalah kolam terbiar dan kolam baharu milik peserta yang ada di kawasan rumah dan kebun getah mereka.

"Sekiranya projek perintis ini berjaya, kita akan laksanakan di kampung orang asli yang lain pula. Oleh itu diharap peserta yang dipilih mengambil peluang diberi ini dan memberi komitmen.

"Peserta juga tidak perlu risau bagaimana mahu menjual ikan yang diternak kerana kita akan akan turut membantu memasarkan ikan berkenaan," katanya.

Mohd Azhar berkata anak ikan disumbangkan oleh Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar Glami Lemi, Jelebu; Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Tapah, Perak dan PPA Bukit Tinggi, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 6:26 PM