SAIFUDDIN melakukan lawatan dan bertemu usahawan luar bandar di PIK Rantau Panjang, Sibu, Sarawak, baru-baru ini. FOTO Ihsan MCMC
SAIFUDDIN melakukan lawatan dan bertemu usahawan luar bandar di PIK Rantau Panjang, Sibu, Sarawak, baru-baru ini. FOTO Ihsan MCMC
Rosyahaida Abdullah


Kuala Lumpur: Proses transformasi yang sedang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ke atas 1,064 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara menyasar pelbagai aspek ke arah menjadikan masyarakat luar bandar khasnya, tidak ketinggalan dalam dunia digital.

Menerusi satu kenyataan, MCMC menjelaskan, transformasi itu akan memfokuskan kepada fungsi PIK sebagai pusat yang mampu menjana pekerjaan baharu dan memacu pertumbuhan aktiviti e-dagang untuk kemudahan rakyat.

Malah pada masa sama PIK juga difokuskan untuk berupaya menyediakan lebih banyak perkhidmatan dalam talian buat golongan terbabit.

"Perkhidmatan yang disediakan di PIK khususnya latihan ICT (teknologi komunikasi dan maklumat) serta pembelajaran melalui internet banyak membantu golongan sasar.

"Apa lagi dalam suasana norma baharu susulan pandemik Covid-19, kebanyakan perkhidmatan termasuk kerajaan, perbankan dan perniagaan mula beralih ke platform maya," demikian menurut MCMC.

Memberikan beberapa contoh kejayaan usahawan kecil yang berhasil menambah pendapatan dan memperluaskan pasaran produk secara dalam talian, MCMC berkata, ia antaranya disumbangkan oleh pelbagai latihan dan program yang dianjurkan di PIK.

"Di PIK Teluk Rimba (Muar, Johor), usahawan kecil sekitar Muar turut mendapat manfaat daripada program latihan yang dijalankan di pusat terbabit apabila usahawan yang bermula secara kecil-kecilan kini berjaya memasarkan produk mereka sehingga ke luar negara menerusi media sosial.

"Antara produk yang semakin mendapat perhatian termasuk cendol, karipap mini dan otak-otak.

"Begitu juga dengan usahawan kecil di PIK Taman Desa Permai di Marang, Terengganu yang mana mereka memanfaatkan latihan yang disediakan di PIK dengan kejayaan membesarkan perniagaan sekali gus membuka peluang kerja kepada penduduk setempat.

"Antara produk usahawan kecil terbabit termasuk perniagaan pisang goreng, cendol, kek dan perkhidmatan ejen pelancongan," katanya.

Jelas MCMC, banyak lagi kisah kejayaan usahawan PIK yang mampu memberi suntikan semangat untuk masyarakat luar bandar lain memanfaatkan PIK bagi mengupayakan perniagaan masing-masing yang bermula kecil menjadi jauh lebih besar.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Hasil pemerhatian beliau mendapati produk yang dipamerkan mempunyai potensi cukup baik untuk dikembangkan.

"Menerusi bimbingan dan strategi yang betul, saya yakin semua produk ini boleh dipasarkan secara meluas dan memberi pulangan lumayan kepada usahawan berkenaan," katanya ketika melakukan lawatan ke PIK Rantau Panjang di Sibu, Sarawak, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 9:56 PM