GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kapasiti ujian harian makmal sampel Covid-19 di seluruh Sabah ditingkatkan kepada 2,500 ujian sehari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pihaknya mampu menjalankan ujian itu di 23 makmal hospital dan 26 makmal klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjalankan ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag).

Menurutnya, KKM menggunakan RTK-Ag sebagai ujian saringan Covid-19 kerana ia mempunyai kelebihan untuk mengesan wabak Covid-19 dengan cepat dalam jumlah yang besar.

Manakala, katanya, ujian Real-Time Reverse TranscriptionPolymerase Chain Reaction (rRT-PCR) pula digunakan bagi pengesahan jangkitan Covid-19.

"Ujian RT-PCR di Sabah bermula pada Februari lalu di Makmal Kesihatan Awam, Kota Kinabalu dengan kapasiti 200 ujian sehari dan seterusnya diperluaskan ke Hospital Queen Elizabeth (100 ujian per hari) serta makmal Universiti Malaysia Sabah (100 ujian per hari) pada Mac.

"Sehubungan pertambahan bilangan kes di Sabah, KKM menambah kapasiti makmal yang boleh menjalankan ujian rRT-PCR sebagai salah satu langkah kesiapsagaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sekiranya ujian Covid-19 di Sabah mencecah 2,500 ujian per hari, sampel Covid-19 yang selebihnya akan dihantar dari Sabah ke Semenanjung dengan menggunakan perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta perkhidmatan kurier swasta ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi menampung pengujian sampel tambahan.

"Bagi jangka masa panjang, KKM berusaha membangunkan sebuah makmal molekular di Hospital Tawau.

"Selain itu, KKM juga sedang menunggu penghantaran kaset Genexpert Covid-19 dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi kegunaan di Hospital Tawau, Hospital Sandakan dan Hospital Lahad Datu," katanya.

Beliau berkata, ujian ini digunakan bagi mengesan virus Sars-Cov-2 dan mesin Genexpert dengan empat laci mampu menjalankan 40 ujian sehari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 6:33 PM