MOHD AZIZUL (kiri) dan Mohd Iskandar keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bersama menipu dan menerima rasuah berjumlah RM1,000, dua tahun lalu di  Mahkamah Sesyen, Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
MOHD AZIZUL (kiri) dan Mohd Iskandar keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bersama menipu dan menerima rasuah berjumlah RM1,000, dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Omar Ahmad


Johor Bahru: Dua kontraktor pendawaian elektrik mengaku bersalah atas pertuduhan bersama menipu dan menerima rasuah RM1,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Azizul Saripudin, 31, dan Mohd Iskandar Rosly, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 4.10 petang di sebuah Restoran di Bukit Saujana, pada 11 Januari 2018.

Kedua-dua tertuduh didakwa menipu seorang lelaki dengan memperdayakannya untuk mendapatkan pengurangan jumlah denda yang dikenakan terhadap lelaki terbabit atas kesalahan melakukan pengubahsuaian kotak meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan RM1,000 kepada kedua-dua tertuduh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Undang-undang Malaysia Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya atas kesalahan sama kerana menggunakan dokumen sebut harga palsu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Azriff Firdaus Ali.

Manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kedua-dua tertuduh yang sudah tidak bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuat rayuan dihadapan Kamarudin, menyesali perbuatan itu serta berjanji tidak mengulangi kesilapan sama.

Kamarudin dalam penghakimannya turut menasihati kedua-dua tertuduh supaya menjadikan kesalahan itu sebagai pengajaran.

Mahkamah menetapkan masing-masing didenda RM6,000 atau penjara enam bulan sekiranya tidak mampu membayar denda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 5:33 PM