GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Tiga calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah terpaksa menjalani kuarantin selama 14 hari berikutan menjadi kontak kepada seorang pemimpin Umno yang disahkan positif Covid-19, baru-baru ini.

Calon berkenaan ialah dua calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamarlin Ombi yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan dan Sani Miasin untuk DUN Sindumin selain calon Parti Warisan Sabah (Warisan) DUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.

Kamarlin ketika dihubungi berkata, beliau menjalani kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurutnya, beliau memang menemui Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii ketika hari penamaan calon di Sipitang pada 12 September lalu.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan beliau disahkan positif Covid-19 dan sebagai salah seorang individu yang baru bertemu dengannya, saya mengambil pendekatan membuat ujian swab.

"Selain berjaga-jaga, ujian terbabit diambil untuk menghormati prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagaimanapun, keputusan ujian berkenaan masih belum ketahui ketika ini," katanya memaklumkan membuat ujian swab semalam.

Kamarlin berkata, beliau tidak mengalami sebarang simptom atau masalah kesihatan ketika ini.

Dalam pada itu, Yusof sewaktu dihubungi turut menyatakan kini dalam proses kuarantin bagi tempoh 14 hari.

"Saya sudah mengikuti semua SOP disarankan kerajaan selepas mengetahui berita mengenai Mohd Razlan disahkan positif.

"Selaku pemimpin, kita mesti menunjukkan imej serta contoh yang baik selain perlu mengikuti peraturan dan berintergriti," katanya menjalani ujian swab, Isnin lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 4:12 PM