GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Peniaga makanan di Jalan Raja Uda di sini, rugi RM9,800 selepas terpedaya dengan sindiket African Scam yang menawarkan bungkusan berisi mata wang asing.

Susulan itu wanita berkenaan membuat laporan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian bermula semalam, selepas mangsa berusia 35 tahun dihubungi individu tidak dikenali melalui WhatsApp.

"Mangsa didakwa mempunyai bungkusan atas namanya dan perlu membuat bayaran jika mahu menuntut barangan itu, malah mangsa turut diugut supaya melakukannya jika tidak mahu ditangkap dan dipenjarakan.

"Ini kerana suspek mendakwa bungkusan milik mangsa dikesan mengandungi sejumlah mata wang asing dalam jumlah yang besar selepas proses imbasan.

"Disebabkan takut, mangsa menuruti semua arahan suspek dan membuat enam transaksi wang berjumlah RM9,800 ke dalam akaun yang diberikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorzainy berkata, selepas itu suspek meminta bayaran tambahan yang menyebabkan mangsa sedar dia sudah diperdaya sindiket penipuan dan membuat laporan polis, hari ini.

Beliau turut memberitahu seorang pekerja kilang turut menerima nasib sama apabila ditipu sindiket pelaburan Forex hingga rugi RM10,950.

Katanya, mangsa lelaki berusia 51 tahun itu didakwa mendaftar untuk pelaburan jenis Pelan Satu dengan bayaran RM350 tetapi diminta membuat bayaran tambahan jika mahu menerima dividen.

"Tidak mengesyaki apa-apa, mangsa membayar RM10,950 dan hanya menyedari ditipu apabila suspek menuntut bayaran tambahan," katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 5:48 PM