Sabri Ya, menghidupkan generator untuk membekalkan elektrik di rumahnya di Kampung Bungan Besar. FOTO MOHD ROJI KAWI
Sabri Ya, menghidupkan generator untuk membekalkan elektrik di rumahnya di Kampung Bungan Besar. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


Sibu: Ketika kebanyakan penduduk Kampung Bungan Besar, di sini sudah menikmati bekalan elektrik sejak tiga tahun lalu, empat keluarga di kampung berkenaan masih ternanti-nanti kemudahan asas itu, hingga kini.

Kira-kira 30 ahli keluarga terbabit yang mendiami empat rumah, terlepas daripada menerima bekalan elektrik disebabkan kediaman mereka terletak di seberang sungai.

Salah seorang ahli keluarga terbabit, Sabri Ya, 51, berkata mereka sudah merayu kepada beberapa pihak, namun sehingga kini tiada jaminan bekalan elektrik akan disambung ke kediaman mereka.

Sabri berkata, hampir 1,000 penduduk kampung sudah menerima bekalan elektrik pada 2017, manakala mereka masih menantinya.

"Kami sekadar mendengar penduduk lain hanya membayar bil elektrik berpuluh ringgit sebulan, sedangkan kami masih berbelanja lebih RM300 untuk membeli bahan api bagi kegunaan generator.

"Penduduk yang lain menikmati bekalan elektrik 24 jam sedangkan kami hanya mampu menghidupkan generator lima jam sehari mulai 6 petang hingga 11 malam sahaja," katanya.

Justeru, dia mengharapkan kerajaan negeri dan pihak yang membekalkan utiliti elektrik melihat masalah yang mereka hadapi seterusnya mempertimbangkan untuk membekalkan elektrik ke kediaman mereka.

"Kami membina rumah di seberang kampung ini yang betul-betul berada di seberang Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bungan Besar pada 1977.

"Kami berharap, selepas lebih 40 tahun tinggal di sini, kami juga layak menerima kemudahan seperti penduduk yang lain terima," katanya.

Tinjauan mendapati, kediaman empat keluarga terbabit terletak kira-kira satu kilometer dari talian elektrik utama di Kampung Bungan Kecil dan berada di seberang SK Kampung Bungan Besar.

Katanya lagi, mereka yang hanya bekerja kampung terkesan dengan perbelanjaan besar untuk mendapatkan bahan api bagi kegunaan generator.

"Kami juga teringin untuk berjimat seperti penduduk lain yang membayar bil elektrik jauh lebih murah berbanding kami yang masih menggunakan generator," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 7:12 PM