RUSLIN (kanan) menyerahkan dokumen pengenalan diri kepada Nor Erdaliana Mohd Saufi, 32, bersama anaknya, Muhammad Khairul Izham Abdullah pada majlis berlangsung di JPN Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori.
RUSLIN (kanan) menyerahkan dokumen pengenalan diri kepada Nor Erdaliana Mohd Saufi, 32, bersama anaknya, Muhammad Khairul Izham Abdullah pada majlis berlangsung di JPN Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam proses menyelaraskan penggunaan bin atau binti bagi pendaftaran anak tidak sah taraf.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, buat masa ini terdapat dua pilihan bagi pendaftaran anak tidak sah taraf iaitu berbin atau berbintikan Abdullah atau menggunakan nama Asma'ul Husna.

Katanya, JPN juga aktif mengadakan perbincangan di peringkat negeri khususnya pejabat mufti berhubung perkara itu.

"Baru-baru ini, kita ada membuat pembentangan pada Muzakarah Mufti di Pahang dan kita ada membentangkan kepada pihak mufti mengenai peraturan dan pelaksanaan yang dibuat oleh pihak JPN dalam mendaftarkan anak tak sah taraf.

"Ada negeri-negeri yang tidak begitu jelas, menetapkan sama ada menggunakan Abdullah atau Asma'ul Husna, sebab itu kita mahu selaraskan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diberi tanggungjawab untuk membuat kajian dan penyelidikan mengenai pelaksanaan itu.

"Insya-Allah, kita tunggu hasil daripada pihak Jakim dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kemudahan ePayment dan Sesi Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Pejabat JPN Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Menurut Ruslin, terdapat hampir 300,000 anak tak sah taraf yang didaftarkan di bawah JPN, namun tiada jumlah sebenar sukar diperoleh selagi ibu atau bapa bayi tidak mendaftar dengan pihaknya.

Dalam pada itu, beliau menasihati ibu bapa supaya mempercepatkan pendaftaran kelahiran anak masing-masing dalam tempoh 60 hari daripada tarikh anak dilahirkan.

"Bagi yang berkahwin di luar negara, mereka perlu membuat pengesahan perkahwinan terlebih dahulu di pejabat agama negeri masing-masing, supaya anak dapat didaftarkan.

"Kegagalan melakukan demikian menyebabkan masalah lain termasuk anak tidak boleh ke sekolah kerana tiada surat beranak dan sebagainya, malah proses pengesahan juga akan menjadi lebih rumit," katanya.

Katanya, di Terengganu sahaja mempunyai 264 kes pendaftaran lewat, tahun lalu dan perkara itu tidak sewajarnya berlaku memandangkan JPN mempunyai pejabat di hampir di semua daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 2:19 PM