DR Yee Moh Chai (dua kiri), membuat laporan polis di IPD Kota Kinabalu selepas poster gambarnya dimanipulasi untuk membangkitkan isu sensitif. FOTO Ihsan PBS
DR Yee Moh Chai (dua kiri), membuat laporan polis di IPD Kota Kinabalu selepas poster gambarnya dimanipulasi untuk membangkitkan isu sensitif. FOTO Ihsan PBS
Avila Geraldine

Kota Kinabalu: Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Yee Moh Chai hari ini membuat laporan polis selepas poster gambarnya dimanipulasi untuk membangkitkan isu sensitif.

Poster yang tular di media sosial itu menunjukkan Yee memakai serban dengan tulisan 'Saya Menang, Hudud Dilaksanakan' yang disahkan palsu.

Calon PBS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api itu dalam satu kenyataan, menjelaskan bahawa dia dan PBS tidak ada kaitan dengan poster itu dan gambarnya disalahgunakan tanpa pengetahuannya.

"Saya yakin pelakunya berhasrat memainkan sentimen sensitif yang boleh menimbulkan kebencian antara kaum dan agama serta mengganggu ketenteraman rakyat Sabah.

"Kami bimbang poster yang dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab akan memberi kesan bahawa calon PBS untuk Api-Api sengaja mengejek agama lain" katanya.

Yee menekankan bahawa PBS tidak mengamalkan budaya bermain sentimen perkauman dan agama untuk mendapat sokongan pengundi.

Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja memfitnahnya sebagai calon tetapi juga memberi maklumat palsu kepada orang ramai mengenai parti itu.

"Saya membuat laporan polis kerana saya percaya gambar itu menghasut. Saya harap polis akan menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap pelaku," tambahnya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 8:43 PM