Antara pelancong yang berada di Pulau Perhentian. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Antara pelancong yang berada di Pulau Perhentian. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Jertih: Pulau Perhentian di sini, terus menjadi destinasi pilihan pelancong apabila merekodkan seramai 41,420 pengunjung pada Ogos lalu.

Ia menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding Julai lalu yang hanya merekodkan 26,680 orang.

Penyelia Pusat Penerangan Pelancong Kuala Terengganu, Tourism Malaysia Wilayah Timur, Ahmad Zulfa Shafie berkata, aktiviti pelancongan di pulau peranginan termasuk Pulau Perhentian sebelum ini didominasi pelancong luar negara.

Menurutnya, penutupan pintu masuk negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana Covid-19 menyebabkan sektor pelancongan terjejas teruk.

"Bagaimanapun, sebaik aktiviti pelancongan domestik dibuka ribuan pelancong tempatan kini menyerbu pulau terkenal di Pantai Timur termasuk Terengganu.

"Pada Mac lalu, seramai 11,765 orang berkunjung ke Pulau Perhentian namun tiada kemasukan direkodkan dua bulan berturut-turut bermula April susulan PKP.

"Bagaimanapun, sebaik Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan perjalanan rentas negeri dilaksanakan bermula 10 Jun lalu, Pulau Perhentian terus menerima kunjungan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, jumlah pelancong yang semakin meningkat menunjukkan perkembangan positif bagi mengukuhkan ekonomi industri pelancong selepas beberapa bulan terjejas.

"Ini menunjukkan rakyat Malaysia sanggup membantu negara dalam suasana yang agak terkesan ini untuk bersama-sama memulihkan ekonomi negara yang hampir lumpuh sebelum ni.

"Alhamdulillah, kita dapati majoriti pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kita memohon kerjasama semua pihak untuk meneruskan norma baharu yang ada kerana kita masih dalam peperangan menangani Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 5:16 PM