Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah membantu 1,800 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasarkan produk mereka di pasar raya besar.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya menyasarkan jualan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) sebanyak RM513 juta bagi tahun ini.

"Setakat ini, kita dapat lihat sambutan terhadap barangan buatan Malaysia amat menggalakkan.

"Kita dapati pasaran mula normal dan berdasarkan pemerhatian, sektor perniagaan didapati sudah pulih 90 peratus," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Kembara Pengguna di Sunway Putra Mall, di sini, hari ini.

ROSOL (tiga dari kiri) melancarkan Program Kembara Pengguna di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
ROSOL (tiga dari kiri) melancarkan Program Kembara Pengguna di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Rosol berkata, peniaga dan pengusaha PKS disaran menyertai Program Transformasi Produk dijalankan KPDNHEP.

Beliau berkata, inisiatif itu disediakan untuk membantu peniaga dan pengusaha PKS agar produk mereka mendapat tumpuan di pasar raya besar.

"Justeru, kementerian menyeru kepada peniaga dan pengusaha untuk mengambil peluang berjumpa dengan pegawai berkenaan di bawah KPDNHEP untuk mendapatkan maklumat bagi mempromosikan produk mereka.

"Menerusi program itu, peniaga dan pengusaha PKS akan diberi bantuan dan bimbingan dalam aspek pembungkusan dan pelabelan produk supaya produk mereka lebih menarik, sekali gus menepati piawaian untuk menembusi pasar raya besar di negara ini.

"Kita sudah bekerjasama dengan pasar raya dan pusat beli-belah untuk menyediakan tempat menarik bagi mempamerkan produk PKS dan ia akan menarik perhatian orang ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 7:38 PM