TIGA laluan kampung ditutup untuk mengelakkan orang ramai keluar masuk dari Kota Setar ke daerah lain,. FOTO ihsan polis.
TIGA laluan kampung ditutup untuk mengelakkan orang ramai keluar masuk dari Kota Setar ke daerah lain,. FOTO ihsan polis.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tiga laluan jalan kampung untuk masuk ke daerah ini ditutup untuk mengelakkan pergerakan keluar masuk orang ramai ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di Kota Setar.

Ia membabitkan Jalan Gunung ke Sungai Korok, Simpang Gelong Air ke Gunung Keriang dan simpang ke Kangar, Perlis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Nor Azman Mohd Noor berkata, laluan itu ditutup dengan penghadang jalan untuk mengelakkan orang ramai keluar masuk secara bersembunyi.

Beliau berkata, pada masa sama, sembilan sekatan jalan raya (SJR) masih kekal membabitkan Alor Setar ke Pokok Sena dan Pokok Sena ke Alor Setar di Jabi, hadapan Restoran Haji Ramli di Simpang Empat, Jalan Batas Paip di Kuala Kedah, Tol Alor Setar Utara dan Tol Alor Setar Selatan, hadapan Balai Polis Kepala Batas, hadapan Balai Polis Alor Janggus dan Jalan Hutan Kampung.

"Orang ramai perlu melalui pemeriksaan SJR sebelum memasuki kawasan PKPD di Kota Setar.

"Selain itu, anggota Pasukan Pemantau Covid-19 akan turut memantau pergerakan terutama di lorong tikus iaitu di jalan kampung yang boleh menembusi ke daerah lain," katanya.

PKPD Secara Pentadbiran bermula sejak Jumaat lalu membabitkan seramai 366,787 isi rumah di 28 mukim di kawasan Kota Setar.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 9:27 PM