Gambar hiasan, kelab malam di Kuala Lumpur Pudu yang diserbu polis kerana beroperasi melebihi 12 tengah malam pada 21 Ogos lalu. FOTO NSTP.
Gambar hiasan, kelab malam di Kuala Lumpur Pudu yang diserbu polis kerana beroperasi melebihi 12 tengah malam pada 21 Ogos lalu. FOTO NSTP.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 608 daripada 763 individu yang ditahan kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam adalah mereka yang berhibur di pub atau kelab malam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu paling ramai dikompaun, diikuti tidak mengamalkan penjarakan sosial (63) dan terbabit parti persendirian (27).

Katanya, sebanyak 22 kes dicatatkan kerana tidak memakai pelitup muka, 12 individu disyaki terbabit aktiviti perjudian, ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) (12), gagal menyediakan peralatan/catatan keluar masuk (6), premis beroperasi lebih masa (1), premis beroperasi tanpa lesen (1) dan lain-lain aktiviti (1).

"Seramai 746 individu dikompaun, 17 individu direman dan seorang individu lagi dibebas dengan jaminan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Pasukan Khas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) turut melakukan 57,795 pemeriksaan bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), yang membabitkan kekuatan 11,862 anggota.

Kumpulan itu memantau 3,868 pasar raya; 4,939 restoran serta 1,462 penjaja selain 1,158 kilang; 3,500 bank dan 657 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau, 1,094 terminal pengangkutan darat, 203 terminal pengangkutan air dan 135 terminal pengangkutan udara," katanya.

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng menahan 71 pendatang asing tanpa izin (Pati), tiga tekong dan seorang penyeludup.

Daripada jumlah itu, katanya, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 10 Pati di Padang Mulud, Bandar Penawar, Johor kerana kesalahan tiada dokumen pengenalan diri sah.

Menurutnya, operasi sama turut melakukan 79 sekatan jalan raya (SJR) iaitu 57 SJR oleh PDRM; 10 SJR oleh Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 12 oleh ATM.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram. Agensi penguatkuasaan akan terus giat mengetatkan kawalan terutamanya di lorong tikus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 3:16 PM