GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 4.2 juta penduduk negara ini yang berusia 21 tahun ke atas dan layak mengundi, belum mendaftar sebagai pemilih, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahaya.

Beliau berkata, angka itu mewakili 22 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat yang layak mengundi ketika ini.

"Kita hadapi satu masalah yang memerlukan semua pihak memainkan peranan bersama kerana masih terdapat 4.2 juta rakyat negara ini berusia 21 tahun ke atas belum mendaftar sebagai pengundi.

"Jumlah ini tidak bagus untuk perkembangan daftar pemilih. Ketika ini kita mempunyai lebih kurang 15 juta pengundi berusia 21 tahun ke atas, dan kalau kita laksanakan sistem undi 18 tahun, kita akan menambah jumlah pengundi antara enam hingga tujuh juta," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ismail Yusop yang bertanyakan langkah kerajaan dalam memperkasakan pengundi baharu sebagai persediaan menghadapi pelaksanaan had umur mengundi 18 tahun.

Shabudin berkata, tanggungjawab untuk menyedarkan mereka yang belum mendaftar sebagai pengundi tidak harus diletakkan di bahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semata-mata.

Sebaliknya, ia perlu digalas bersama semua pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

Katanya, di pihak kerajaan sendiri khususnya SPR, pelbagai kempen dan program sudah dilaksanakan termasuk program pendaftaran secara dalam talian menerusi https://mysprdaftar.spr.gov.my yang dilancarkan pada 18 Julai tahun lalu yang mendapat sambutan dalam kalangan pengundi muda khasnya.

Terdahulu, menjawab soalan Ismail yang ingin tahu persediaan yang sudah dan akan dilakukan kerajaan terhadap pelaksanaan had umur mengundi 18 tahun, Shabudin berkata, SPR kini dalam persiapan melaksanakan kelayakan undi 18 tahun.

Katanya, pendaftaran pemilih secara automatik berdasarkan pindaan Perkara 119(4) Perlembagaan Persekutuan yang sudah diluluskan Parlimen sebelum ini.

Menurutnya, persiapan itu meliputi pindaan pada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2001 dan undang-undang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) dan penyediaan infrastruktur bagi pelaksanaan kedua-dua perkara itu.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 1:47 PM