SAIFUDDIN (kiri) ketika melawat gerai pameran pada Majlis Aspirasi Merdeka IM Malaysia 2020. FOTO Asrol Awang
SAIFUDDIN (kiri) ketika melawat gerai pameran pada Majlis Aspirasi Merdeka IM Malaysia 2020. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pejabat Parlimen Indera Mahkota dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dan badan bukan kerajaan (NGO) akan memperhebatkan program gotong-royong dalam usaha menyekat wabak denggi di kawasan parlimen itu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ini berikutan kes denggi yang semakin meningkat dan membimbangkan di daerah ini terutama di Parlimen Indera Mahkota.

Katanya, dengan mengadakan program itu, ia juga diharap meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk aedes.

"Saya ingin menyeru semua masyarakat, bukan sahaja penduduk di Parlimen Indera Mahkota, malah Parlimen Paya Besar dan Kuantan memandang serius kes denggi di daerah ini.

"Ini kerana tiga parlimen ini berada di daerah Kuantan yang kini merekodkan kes denggi paling tinggi di seluruh Pahang," katanya selepas Majlis Aspirasi Merdeka IM Malaysia 202 di sini, semalam.

Menurut statistik Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan setakat kelmarin, Sungai Karang Pantai mencatat enam kes denggi, diikuti Taman Cenderawasih Indah (lima), Taman Fairmont (empat) dan masing-masing tiga kes di Taman Air Putih Perdana dan Taman Aman Bukit Sekilau.

Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, walaupun berpuas hati dengan usaha pelbagai pihak yang sebelum ini turun padang mengadakan program gotong-royong bagi menghapuskan nyamuk aedes, kesedaran di kalangan masyarakat masih kurang.

"Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (PBPM) banyak membantu dalam programgotong-royong tetapi kerjasama masyarakat amat dinantikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 11:21 AM