Redzuan Muharam


Puchong: Keinginan membantu ibu bapa yang mempunyai anak istimewa mendapatkan bahan bacaan dan permainan untuk pembelajaran memberi ilham kepada ibu tiga anak, Dazrina Che Din menjalankan perniagaan itu sejak tiga tahun lalu.

Bermula secara dalam talian, Dazrina, 40, kini sudah memiliki kedai sendiri yang baru dibuka di Taman Saujana Puchong, di sini.

Dazrina berkata, kecenderungan memahami dan mencari penyelesaian bagi membantu ibu bapa dan kanak-kanak berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) wujud selepas anak sulungnya, Nurdiana Allisya Mizan Normizan, 9, disahkan menghidap autisme.

"Saya tidak tahu anak saya menghidap autisme kerana dia kelihatan normal dan hanya menyedari masalah itu ketika Nurdiana berumur 23 bulan.

"Ia selepas seorang rakan datang ke rumah dan melihat anaknya boleh mengikut arahan tetapi Nurdiana pula sebaliknya. Keadaan itu membuatkan saya panik kerana tidak tahu menahu mengenai autisme ketika itu.

"Dalam keadaan berpantang selepas melahirkan anak kedua, saya bawa Nurdiana bertemu dengan pakar psikiatri bagi mendapatkan penjelasan dan baru tahu dia rupanya menghidap autisme," katanya.

Dazrina berkata, selain bertanya dengan pakar, dia banyak membaca bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai autisme.

Katanya, pengetahuan itu digunakan untuk menghasilkan buku berkaitan teknik membaca dan menulis bagi membantu anaknya dan kanak-kanak istimewa lain.

"Kemudian, saya kumpul modal untuk mengeluarkan produk Pensil Claw iaitu alat bagi membantu kanak-kanak yang mempunyai masalah untuk memegang pensil dengan cara yang betul, kanak-kanak yang lemah dalam menulis atau baru mula belajar menulis.

"Alhamdulillah, penggunaan bacaan bacaan khusus dan Pensil Claw terbukti berkesan apabila saya nampak perubahan bukan hanya kepada anak saya yang menghidap autisme tetapi dua anak lain yang normal serta kanak-kanak OKU kategori lain seperti Sindrom Down dan Cerebral Palsy.

"Pendekatan lain digunakan untuk membantu Nurdiana termasuk dengan cara bercerita dan menyanyi. Usaha saya berhasil apabila dia mula memanggil saya ibu pada umur lima tahun. Walaupun agak lewat, ia cukup menggembirakan saya sebagai seorang ibu," katanya.

Menurutnya, suami, Normizan Ibrahim, 40, dan keluarga banyak memberinya semangat untuk terus cekal dalam membesarkan Nurdiana.

"Saya pernah menyalahkan diri atas apa yang berlaku terhadap Nurdiana pada mulanya kerana menyangka ia berpunca daripada kesilapan saya tidak memberi perhatian terhadapnya.

"Namun, saya tidak pernah berputus asa kerana mempunyai suami yang positif dan keluarga sebagai tulang belakang selama ini.

"Apa yang terjadi ada hikmahnya dan salah satunya adalah memberi peluang untuk saya membantu ibu bapa lain di luar sana," katanya.

Dazrina merancang menjadikan perniagaannya itu sebagai platform untuk memudahkan orang ramai memberi sedekah kepada mereka yang memerlukan.

"Ia menerusi projek sedekah yang membolehkan pelanggan membeli sambil menderma dengan cara menyumbang mainan itu pada kotak disediakan di kedai.

"Jadi, mainan dibeli tidak semestinya diberi kepada anak tetapi juga boleh didermakan untuk keperluan kanak-kanak istimewa lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 8:19 PM
DAZRINA melihat anaknya, Nurdiana Allisya (tengah) bersama rakan belajar menggunakan Pensil Claw. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
DAZRINA melihat anaknya, Nurdiana Allisya (tengah) bersama rakan belajar menggunakan Pensil Claw. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam