MOHD Nazip (dua, kiri) dan Chee Kian (dua, kanan) di Majlis Menandatangani MoA. FOTO ihsan UiTM
MOHD Nazip (dua, kiri) dan Chee Kian (dua, kanan) di Majlis Menandatangani MoA. FOTO ihsan UiTM
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Pengangkutan awam di bandar utama bakal mendapat manfaat daripada perkongsian Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan Mobilus Sdn Bhd.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi, Profesor Dr Mohd Nazip Suratman berkata, dengan kerjasama ini, UiTM akan menjalankan kajian sistem Automatik Rapid Transit (ART) berdasarkan infrastruktur jalan raya dan persekitaran pengangkutan awam di Malaysia.

"UiTM melalui Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS), akan melakukan kajian mengenai pelaksanaan operasi ART di negara ini dengan mengambil kira aspek teknikal sistem pengangkutan bandar baru dan penggunaannya dalam undang-undang dan peraturan pengangkutan," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UiTM dengan Mobilus, di sini, semalam.

UiTM diwakili Mohd Nazip manakala Mobilus diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Chan Chee Kian.

Mohd Nazip berkata, kajian projek perintis itu akan berlangsung di Iskandar Malaysia, Johor bermula Disember depan hingga Februari 2021.

"Hasil kerjasama dengan Mobilus ini berpotensi dalam memberi kesan kepada peningkatan ekonomi negara kita kerana kebanyakan operasi perniagaan bergantung kepada sistem perhubungan pengangkutan kita.

"Analisis daripada dapatan kajian itu akan meningkatkan kemahiran teknologi pintar dalam bidang pengangkutan dan keselamatan jalan raya," katanya.

Sementara itu, Chee Kian berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan MITRANS UiTM dan menantikan kajian sistem ART.

"Saya juga gembira Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) bersetuju untuk menjadi tuan rumah projek perintis bertujuan memperkenalkan kenderaan teknologi hijau yang kini ada di pasaran kepada orang ramai serta mendapatkan kelulusan kelayakan jalan yang dapat membantu meningkatkan pengangkutan awam di Iskandar Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 11:45 AM