Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Identiti suspek penipuan dalam talian seperti Macau Scam dan Love Scam sukar dikenal pasti kerana menggunakan nombor telefon yang didaftarkan di luar negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, suspek juga menggunakan protokol suara melalui internet (VOIP) menyebabkan jejak mereka sukar dikesan.

Justeru katanya, kerajaan sudah meminta kerjasama Bank Negara untuk memperketatkan pembukaan akaun baharu di bank.

"Kita juga minta kerjasama dari syarikat telekomunikasi supaya apabila kita minta identiti dan maklumat akaun telefon bimbit (suspek), ia boleh diberikan dengan segera (syarikat telekomunikasi).

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil serius kegiatan ini kerana jenayah penipuan semakin meningkat dan menjejaskan ekonomi kita," katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Bashir Alias pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Menjawab soalan asal, Ismail berkata, PDRM juga mewujudkan akaun Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police untuk berkongsi maklumat dan memberi amaran kepada orang ramai mengenai ancaman kegiatan penipuan dalam talian.

Katanya, kementeriannya dan PDRM pastinya mengambil berat dan memantau serta mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap masalah jenayah atas talian ini.

"Kita kategori jenayah ini kepada lima. Pertama Macau Scam, kedua Love Scam atau African Scam, ketiga belian dalam talian, empat tipu pinjaman tidak wujud dan kelima, tipu SMS (sistem pesanan ringkas).

"Antara usaha dilakukan PDRM adalah mempertingkatkan penguatkuasaan mengesan dan mendakwa mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam penipuan atas talian ini.

"Melakukan pameran mengenai kesalahan atau cara melakukan jenayah scam di pusat membeli belah dan kompleks membeli belah dan tempat tumpuan orang ramai. Kita juga adakan sesi dialog dengan masyarakat setempat, kakitangan kerajaan dan swasta, pelajar sekolah, penuntut di IPT dan IPTS serta NGO (badan bukan kerajaan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 1:53 PM