DR Chan Yoke Fun. FOTO BERNAMA
DR Chan Yoke Fun. FOTO BERNAMA
BERNAMA

KETUA Jabatan Mikrobiologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Chan Yoke Fun, diumum pemenang kategori wanita Hadiah Sains ASEAN-Amerika Syarikat (AS) 2020.

Dalam kenyataan disiarkan di laman web rasmi ASEAN pada Isnin, Chan menerima wang tunai AS$20,000 (RM82,850) manakala Penolong Profesor di Pusat Pengajian Kejururawatan Alice Lee di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Shefaly Shorey, yang turut menerima hadiah khas membawa pulang wang tunai US$5,000 (RM20712.50).

Dr Chan menumpukan penyelidikannya untuk membangunkan vaksin melawan virus yang menyebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut dan jangkitan otak pada kanak-kanak. Beliau juga bekerjasama dengan pakar tempatan untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyakit itu serta pencegahan dalam kalangan masyarakat dan selainnya.

"Penghargaan ini tepat pada masanya sebagai menghargai peranan aktif wanita dalam penjagaan kesihatan. Ini adalah pengiktirafan untuk kerja yang dilakukan dan memberi peluang kepada pasukan saya meningkatkan lagi usaha. Ia juga memperkasakan lagi semua saintis wanita ASEAN.

"Kesungguhan, ketekunan dan berfikiran positif membantu kita mencapai kemajuan pada tahap lebih tinggi," kata Dr Chan.

Sementara itu, Dr. Shorey, yang menjalankan penyelidikan bagi mencegah kemurungan terhadap ibu dan wanita hamil, mempengaruhi keputusan pembuat dasar berhubung kesihatan ibu dan anak di rantau ini.

Hasil penyelidikannya, yang membangunkan aplikasi pendidikan percuma dikenali 'Home but Not Alone' untuk menyokong mereka yang baru bergelar ibu bapa menguruskan tekanan dan mencegah kemurungan pasca kelahiran.

"Saya bersyukur diberikan kesempatan mewakili negara dan berkongsi penyelidikan saya untuk mempromosikan kesihatan wanita di platform antarabangsa ini.

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada Jawatankuasa Hadiah ASEAN-AS dan pihak penganjur atas sokongan padu mereka untuk menjayakan pertandingan tahun ini walaupun ketika wabak melanda," kata Dr Shorey.

Chan dan Shorey mengemukakan hasil penyelidikan mereka kepada panel hakim melalui pertandingan 'head-to-head pitch' yang diadakan dalam secara maya pada 13 Ogos.

Kedua-dua mereka dipilih daripada sepuluh finalis, masing-masing mewakili saintis wanita yang mengkaji bidang penjagaan kesihatan, merupakan tema tahun ini.

Hadiah Sains ASEAN-AS dianjurkan ASEAN sebagai mengiktiraf saintis wanita, pertandingan seterusnya akan diadakan pada 2021 bertemakan 'Clear Air and Clean Water'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 4:16 PM