Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi


MENYAMBUT Hari Kebangsaan tanpa mempedulikan prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyebabkan 600 individu yang mengunjungi pub dan kelab malam dikompaun semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 778 individu dengan 98 individu direman dan tujuh lagi dijamin sementara 673 dikenakan kompaun.

Menurutnya, antara kesalahan ingkar PKPP itu termasuk paling tinggi aktiviti dalam pub atau kelab malam membabitkan 600 orang diikuti 127 membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial, tidak memaki pelitup muka (16), gagal merekod butiran pelanggan (14), premis beroperasi lebih masa (12), beroperasi tanpa lesen (7) dan gagal mematuhi arahan kuarantin (2).

"Pub dan kelab malam masih belum dibenarkan beroperasi. Jadi, tindakan membukanya adalah melanggar SOP dan akta kerana ia masih dalam senarai operasi yang belum dibenarkan.

"Semalam paling tinggi ditahan dan kemungkinan kerana nak sambut hari merdeka sehingga tiba-tiba berlaku peningkatan mendadak," katanya pada sidang media Covid-19 hari ini.

Ismail Sabri berkata, serbuan dan pemeriksaan mengejut ke atas pusat hiburan yang dilakukan PDRM turut disertai pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Jika ada tangkapan dilakukan seperti di kelab malam atau pub senarainya akan dihantar ke PBT kerana mereka berkuasa untuk menutup premis perniagaan.

"Mereka bukan setakat langgar SOP tetapi langgar arahan kerajaan kerana membukanya secara haram di mana tindakan itu salah di sisi undang-undang serta polis boleh cadangkan supaya pengusaha dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata, sebenarnya di luar negara juga masih banyak yang tidak membenarkan pusat hiburan beroperasi.

MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar arkib). FOTO Bernama
MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar arkib). FOTO Bernama

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 3:52 PM