Rosman Shamsudin

MOHD Zaidi Aziz, 44, yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, semalam, menjadikan amanat ayahnya sebagai panduan bagi menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Menurutnya, sebelum bertanding dalam PRK DUN Slim, beliau terlebih dahulu memohon restu daripada ayahnya, Aziz Nordin, 80, supaya dipermudahkan segala usahanya dalam siri kempen PRK yang lalu.

"Ayah saya merestui saya, cuma nasihatnya apabila berada di atas, jangan lupa orang di bawah sebab asal usul saya pun berasal daripada keluarga yang susah.

"Saya kena bantu masyarakat dan perlu kenang balik kehidupan saya 22 tahun yang lepas. Saya bukan daripada keluarga yang senang tetapi berasal daripada keluarga penoreh getah dan perlu bertatih untuk sampai ke tahap ini," katanya.

Beliau ditemui ketika membuat penampilan sulung di Pasar Awam Slim River, Slim River.

Beliau bertemu dengan peniaga dan orang ramai serta mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan menjadi wakil rakyat yang baharu.

Turut bersama beliau, isterinya, Juliana Sarip, 44, anak perempuan, Maryam T Hani, 5, ayahnya, Aziz serta adiknya, Anuar, 37.

Mereka turut membeli barang untuk mengadakan kenduri kesyukuran bersama keluarga.

MOHD Zaidi bersama isteri, Juliana dan ayahnya, Aziz membeli belah dan bertemu pengundi di Pasar Lama Slim selepas menang dengan majoriti besar PRK Slim. FOTO Hazreen Mohamad
MOHD Zaidi bersama isteri, Juliana dan ayahnya, Aziz membeli belah dan bertemu pengundi di Pasar Lama Slim selepas menang dengan majoriti besar PRK Slim. FOTO Hazreen Mohamad

Mohd Zaidi berkata, beliau akan meneliti balik catatan yang beliau buat sepanjang kempen yang lalu bagi meneliti masalah permasalahan penduduk.

"Ada beberapa isu yang dibangkitkan oleh penduduk, ada perkara yang boleh diselesaikan dengan segera dan saya akan selesaikan.

"Mana yang perlu ada perancangan dan perlu dibawa ke peringkat atasan, saya akan lakukan.

Saya juga akan lihat balik keutamaan yang perlu disegerakan.

"Tetapi soal banjir, saya rasa perkara itu sudah diambil tindakan oleh pihak Majlis Daerah Tanjung (MDTM), Pejabat Tanah dan Daerah serta agensi lain," katanya.

Beliau juga akan bertemu dengan MDTM bagi membincangkan cara untuk membantu peniaga yang terjejas akibat Covid-19.

Katanya, ia termasuk cadangan mengadakan semula pasar minggu untuk membantu peniaga.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 10:13 AM