NIK Noor Izzati hilang dari rumah abangnya di Kampung Gong Pak Jin, Tepoh. FOTO ihsan ahli keluarga
NIK Noor Izzati hilang dari rumah abangnya di Kampung Gong Pak Jin, Tepoh. FOTO ihsan ahli keluarga
Ahmad Rabiul Zulkifli


WANITA berstatus orang kurang upaya (OKU) pembelajaran hilang dari rumah abangnya di Kampung Gong Pak Jin, Tepoh, Kuala Nerus, sejak petang semalam.

Nik Noor Izzati Nik Mohd Rashid, 27, dipercayai keluar dari rumah pada 1.30 tengah hari ketika ahli keluarganya tiada.

Abangnya, Nik Mohd Nor Fadzilah, 34, berkata, adiknya itu disedari hilang selepas dia pulang daripada kerja.

"Saya dan isteri berkerja dan berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah kedai berdekatan rumah, adik keluar dengan memakai berbaju biru gelap sambil membawa beg merah.

"Kami berasa bimbang dengan keselamatan adik, maklumlah adik berstatus OKU oleh itu takut jika sesuatu yang buruk berlaku kepadanya.

"Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Gong Badak sebaik kejadian dan berharap adik ditemui secepat mungkin," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia menjaga adiknya itu secara bergilir-gilir dengan adik-beradiknya lain sejak ibunya, Rohana Ghani, 51, meninggal dunia enam tahun lalu manakala bapanya, Nik Mohd Rashid Nik Mahmud, 71, mengalami masalah kesihatan dan uzur.

"Adik datang ke rumah saya sejak Sabtu lalu dan tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku.

"Saya tidak pasti sama ada ia sudah dirancang atau sebaliknya kerana adik keluar rumah siap membawa beg pakaian.

"Adik pula tidak mempunyai telefon bimbit oleh itu sukar untuk dijejaki," katanya.

Menurutnya, dia berharap bantuan orang ramai untuk mengesan dan memberi maklumat sekiranya menemui adiknya itu.

"Saya sudah buntu memikirkan kaedah yang boleh digunakan untuk menjejakinya, oleh itu berharap keprihatinan orang ramai untuk membantu," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung mangsa atau ada menemuinya diminta menghubungi balai polis berhampiran atau keluarga mangsa di talian 0145071610 (Nik Mohd Nor Fadzilah).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 11:26 AM