GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


PESARA kerajaan warga emas di Kota Bharu, rugi hampir RM500,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai posmen.

Kejadian bermula Julai lalu selepas wanita berusia 70-an itu menerima panggilan telefon daripada lelaki mendakwa kakitangan Pos Laju yang memberitahu bungkusan dihantarnya sudah tiba di Sabah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, suspek memberitahu bungkusan itu mengandungi kad pengenalan dan semakan terhadap kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mangsa mendapati ia digunakan untuk pengubahan wang haram.

"Mangsa kemudian dihubungkan kepada beberapa suspek lain yang menyamar sebagai polis termasuk pegawai penyiasat bagi jenayah pengubahan wang haram.

"Mangsa dan suspek berhubung setiap hari dalam tempoh seminggu hingga warga emas itu mendedahkan jumlah wang yang terdapat dalam simpanannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Azizul berkata, suspek kemudian meminta mangsa memindahkan semua simpanan itu yang terdapat di Tabung Haji (TH) dan ASNB ke satu akaun banknya yang lain, selain turut diarah membuat kad ATM baharu.

"Mangsa yang terpedaya hanya menurut arahan suspek dan mendedahkan butiran kad serta nombor pin kad ATM baharu itu.

"Bagaimanapun, pada awal Ogos lalu, mangsa membuat semakan dengan pihak bank sebelum mendapati terdapat beberapa pengeluaran berjumlah RM496,000 dilakukan tanpa pengetahuan dan kebenarannya," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, mangsa membuat laporan polis, baru-baru ini dan pihaknya giat mengesan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 7:44 PM