Yusmizal Dolah Aling


KERAJAAN tidak bercadang mengubah sistem pendidikan sedia ada hanya kerana ingin meletakkan agenda perpaduan nasional, sebaliknya menggiatkan usaha sedia ada.

Sebaliknya agenda itu dimulakan daripada asas hinggalah ke pendidikan sekolah rendah dan menengah.

Menteri Perpaduan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, Jawatankuasa Pelaksana Perpaduan Negara juga sudah ditubuhkan bagi menyediakan forum bagi membincangkan masalah perpaduan nasional.

"Seterusnya ialah penubuhan Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri yang dipengerusikan Exco Kerajaan Negeri dan ada Jawatankuasa Perpaduan Daerah.

"Selain itu rancangan baru yang akan dilaksanakan ialah Pelan Tindakan Perpaduan Negara bagi tahun 2021 hingga 2025 yang sedang dalam peringkat maklum balas daripada rakyat," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Shahrizal Md Noor
GAMBAR hiasan. FOTO Shahrizal Md Noor

Beliau menjawab soalan Teo Nie Ching (PH-Kulai) mengenai apakah sekolah pelbagai aliran menjadi penghalang kepada perpaduan kaum di negara ini.

Halimah berkata, usaha untuk memperkukuhkan perpaduan perlu bermula daripada asas dan penghayatan pendidikan rukun negara perlu dilaksanakan dari pendidikan awal kanak-kanak, sekolah rendah dan menengah sehingga universiti.

"Satu Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan Ketua Setiausaha (KSU), bersama tiga lagi KSU iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melihat kepada pelaksanaan meletakkan rukun negara dalam sistem pendidikan.

"Kementerian juga sudah menubuhkan 6,621 kelab rukun negara di semua sekolah rendah dan menengah serta di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 4:38 PM