Yusmizal Dolah Aling


AKTA Sewaan Kediaman (RTA) yang bertujuan untuk mengawal atur sewaan rumah kediaman dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Muttalib berkata, pada masa ini ia tidak dikawal oleh mana-mana perundangan yang khusus.

Katanya, secara praktisnya kadar sewa rumah kediaman dipengaruhi pelbagai faktor seperti cukai tanah, cukai pintu, lokasi kediaman sama ada di bandar atau luar bandar, aksesibiliti terhadap kemudahan disediakan, jarak dengan pengangkutan awam berhampiran dan kemudahan awam yang disediakan.

Menurutnya, antara objektifnya ialah memberi perlindungan kepada penyewa sekiranya berlaku kenaikan sewa tidak sah serta pengusiran yang tidak munasabah.

"Ia mewujudkan satu kerangka perundangan untuk mengawal atur sistem kawalan sewaan kediaman dan mengimbangkan kepentingan kewajipan pemilik kediaman dan penyewa serta menyelesaikan pertikaian antara pihak berkenaan," katanya ketika menjawab soalan Chang Lih Kang (PH- Tanjong Malim) di Dewan Rakyat, hari ini.

Chang bertanya mengenai usaha kementerian untuk memastikan pasaran sewa rumah kediaman berada dalam kemampuan kebanyakan rakyat.

DATUK Seri Dr Ismail Muttalib.
DATUK Seri Dr Ismail Muttalib.

Dr Ismail berkata, akta itu nanti mewujudkan institusi penyelesaian pertikaian seperti mediator dan tribunal antara pihak terbabit dalam urus niaga atau transaksi itu.

"Dengan berkuatkuasanya akta ini, diharapkan pasaran sewa rumah kediaman berada dalam kemampuan kebanyakan rakyat dan hak pihak yang terbabit iaitu pemilik rumah dan penyewa akan dilindungi di bawah peruntukan perundangan," katanya.

Ditanya mengenai apakah akta itu akan membabitkan ejen hartanah yang mengenakan caj yang tinggi, beliau berkata, ia turut berkaitan sewa adil berdasarkan lokaliti.

Ia adalah satu mekanisme yang menggunakan nilai semasa hartanah yang memiliki ciri-ciri serta keadaan menyerupai hartanah yang sedang dinilai dengan mengambil kira keadaan semasa kediaman.

"Sebab itulah kita minta pengguna, pembeli, penyewa rumah, jangan terlalu terpengaruh dengan iklan daripada penawar hartanah.

"Boleh rujuk kepada kementerian. Kita sedia bantu supaya mereka tidak tertipu dengan iklan yang boleh mempengaruhi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 1:38 PM