Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Rafi Mamat


IMPIAN seorang kerani wanita untuk membuat pinjaman RM30,000 berakhir dengan episod hitam apabila wang simpanan miliknya sebanyak RM49,890 pula lesap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 30-an itu berhasrat membuat pinjaman selepas tertarik melihat iklan di Facebook.

"Mangsa mengisi maklumat diri dan menerima satu pesanan menerusi aplikasi WhatApps menawarkan pinjaman itu sebelum wanita terbabit menyatakan mahu meminjam RM30,000.

"Bermula dari situ, mangsa diminta membayar pelbagai caj bagi proses kelulusan pinjaman berkenaan dan dia membuat 23 transaksi ke atas lima akaun diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM49,890," katanya dalam satu kenyataan di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam selepas merasakan dirinya tertipu individu berkaitan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan tipu helah individu menggunakan pelbagai cara untuk memerangkap mangsa supaya menyerahkan bayaran dengan jumlah tertentu.

"Sila rujuk kepada polis dan agensi berkaitan sekiranya menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang cuba menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 2:43 PM