BUNG Moktar ketika sidang media selepas mesyuarat khas UMNO Sabah di Kota Kinabalu. FOTO NSTP
BUNG Moktar ketika sidang media selepas mesyuarat khas UMNO Sabah di Kota Kinabalu. FOTO NSTP
Izwan Abdullah


UMNO Sabah akan menyelesaikan agihan kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) bersama rakan parti lain sebelum akhir bulan ini.

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenai agihan kerusi kerana masih dalam perbincangan dengan semua parti yang terbabit.

"Agihan kerusi di antara parti belum muktamad tetapi ia sedang dirunding dan tarikh akhirnya sebelum akhir bulan ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas UMNO Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Bagi Barisan Nasional (BN), beliau berkata, soal agihan kerusi juga akan dibincangkan sesama parti dalam komponen itu iaitu dengan MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Katanya, pihaknya juga sudah memutuskan mereka akan menggunakan lambang BN untuk bertanding pada PRN nanti.

Mengenai calon yang akan dipilih, beliau memberi jaminan calon UMNO adalah berwibawa, memiliki keikhlasan dan kesetiaan serta tidak akan melompat parti jika menang.

Sementara itu, katanya, UMNO Sabah akan memperbaiki masalah yang timbul berikutan tindakan Ketua UMNO Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mempertikai pelantikan beliau sebagai Pengarah Pilihan Raya BN.

Beliau mengakui masalah itu sedikit sebanyak menjejaskan kedudukan UMNO menghadapi PRN, namun ia boleh ditangani secara baik.

Bung Moktar yang dilantik bagi memegang jawatan berkenaan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini turut menjelaskan tidak terkesan dengan tindakan Abdul Rahman itu.

"Kita hormati kepelbagaian pendapat, no hard feeling. Apa yang lebih penting ialah persediaan untuk menghadapi PRN.

"Masalah ini tidak dinafikan menjejaskan kita tapi kita akan baiki, buat tinjauan dan Insya-Allah ia tidak buat gangguan besar terhadap kempen kita," katanya.

Sebelum ini, Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengadakan sidang media bersama 12 pemimpin UMNO negeri bagi menyatakan bantahan terhadap pelantikan Bung Moktar yang disifatkan sebagai tidak sesuai kerana beliau masih berdepan kes mahkamah.

Bung Moktar berkata, beliau kini hanya mahu menumpukan usaha memantapkan jentera parti di semua bahagian UMNO di Sabah bagi memenangi PRN.

"UMNO ini bersistem, dua tiga orang tidak setuju tidak apa kerana kita hormati kepelbagaian pandangan. Selaku ketua, fokus kita ialah jentera parti," katanya.

Katanya, walaupun ada pemimpin yang tidak sehaluan, akan ada pengganti yang boleh mengambil alih tugas menggerakkan jentera di bahagian yang terbabit termasuk di Tuaran yang diketuai Abdul Rahman.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 5:48 PM