Antara PATI yang ditahan dalam Op Benteng di perairan Selangor. Foto Ihsan PDRM
Antara PATI yang ditahan dalam Op Benteng di perairan Selangor. Foto Ihsan PDRM
Ruwaida Md Zain

MASUK secara haram ke negara ini dengan menggunakan bot nelayan tempatan yang beroperasi di perairan Selat Melaka ke kawasan daratan di sepanjang pesisiran pantai di Selangor.

Itu modus operandi baru yang digunakan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menyelinap masuk ke negara ini di kawasan Jeti Bagan Sekinchan, Sabak Bernam.

Bagaimanapun, taktik terbaru itu berjaya dihidu polis susulan maklumat dan risikan sehingga berjaya menahan 28 pati dan tujuh bot menerusi Op Bersepadu Benteng Covid Briged Tengah Bil 3/10 dilancarkan selama dua hari bermula tengah malam pada 19 Ogos lalu.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, taktik baru itu digunakan untuk menyeludup masuk PATI sepanjang Op Benteng dilaksanakan.

"Bot nelayan ini akan bergerak ke sempadan perairan antarabangsa dan akan memindahkan PATI dari bot seberang dalam jumlah yang kecil iaitu antara dua hingga empat orang.

"Ini menyukarkan pihak berkuasa mengesan mereka. Berdasarkan tangkapan lepas di darat, mereka menggunakan bot nelayan yang memakan masa lebih lapan jam malah ada yang terpaksa mengikut bot ini untuk menangkap ikan.

"Lokasi pendaratan pula sama ada di pantai yang cetek atau dibawa balik ke jeti secara seludup tanpa dikesan pihak berkuasa.

"Kos setiap perjalanan dari sempadan perairan antarabangsa sehingga ke jeti atau daratan dikenakan adalah antara RM800 hingga RM1,500," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Jeti Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang hari ini.

Hadir sama Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Semenyih Superintendan Zulafendy Hassan.

Muhammad berkata, semua maklumat itu membolehkan pasukan operasi mengesan dan mengenal pasti bot nelayan yang dipercayai terbabit membantu kemasukan PATI ke negara ini.

"Dalam operasi itu, tujuh bot nelayan kelas B dan C disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan migran dari negara jiran di antara satu batu nautika hingga 15 bantu nautika dari Jeti Nelayan Bagan Sekinchan.

"Hasil serbuan, kesemua yang ditahan itu membabit sembilan warga Myanmar dan 19 warga Indonesia berusia antara 20 hingga 50 tahun dan mereka didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Polis turut merampas tujuh bot bersama pelbagai jenis barang yang disyaki digunakan di dalam aktiviti penyeludupan migran yang dianggarkan bernilai RM4,215,500," katanya.

Beliau berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63.

"Tangkapan juga disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA)," katanya.

Menurutnya, operasi itu membabitkan tiga cawangan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu PGA Briged Tengah, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan 81 kekuatan pegawai dan anggota.

Muhammad turut memberi amaran kepada pemilik kapal dan bot agar tidak bersekongkol dalam penyeludupan PATI.

"Saya memberi amaran kepada pemilik kapal atau bot agar memastikan penggunaan bot untuk aktiviti ekonomi yang disahkan, tidak membantu kemasukan PATI serta melanggar undang-undang dan peraturan negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 2:47 PM