SEBAHAGIAN daun ketum yang dirampas APMM. FOTO Ihsan APMM
SEBAHAGIAN daun ketum yang dirampas APMM. FOTO Ihsan APMM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perlis menggagalkan cubaan penyeludupan 141.2 kilogram daun ketum ke negara jiran yang dimuatkan ke dalam 750 bungkusan plastik melalui perairan Kuala Perlis, hari ini.

Pengarah APMM Zon Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, kegiatan itu berjaya dikesan pada jarak 0.1 batu nautika dari muara Kuala Perlis oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui unit Unmanned Aircraft Systems (UAS) sebelum maklumat terbabit disalurkan kepada pihaknya.

Beliau berkata, sehubungan itu sepasukan bot peronda pihaknya digerakkan ke lokasi terbabit sebelum menemui dua buah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan, pada 4.42 pagi hari ini.

"Sebuah bot bertindak cuba melarikan diri dengan menukar haluan ke daratan sebelum tindakan itu berjaya disekat berdekatan dengan kawasan hutan paya bakau.

"Bagaimanapun tekong bot terbabit bertindak terjun ke dalam laut dan berenang sehingga ke daratan sebelum melarikan diri manakala sebuah bot lagi memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa," katanya menerusi satu kenyataan malam ini.

Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan tekong terbabit berjaya menemui kesemua bungkusan berisi daun ketum terbabit yang diletakkan di atas lantai bot.

"Manakala sebuah bot lagi dilepaskan selepas pemeriksaan ke atas bot mendapati kesemua penumpang dan tekong tidak memiliki sebarang peralatan dan bungkusan yang mencurigakan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan kesemua barangan rampasan termasuk bot dengan nilai rampasan RM11,000 dirampas untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau menggesa orang ramai terutamanya di sekitar perairan Kuala Perlis untuk tampil membantu pihaknya bagi mengekang aktiviti dan jenayah penyeludupan daun ketum di

perairan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 10:23 PM