SUPERINTENDAN Mohd Khairiel Mohd Arif (dua dari kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas pada sidang media di IPD Jempol. FOTO Abnor Hamizam
SUPERINTENDAN Mohd Khairiel Mohd Arif (dua dari kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas pada sidang media di IPD Jempol. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


SEORANG pemuda yang sedang leka membungkus dan mengikat daun ketum di ruang tamu rumahnya tergamam apabila 'disapa' sepasukan anggota polis.

Dalam kejadian jam 5.45 petang kelmarin, suspek berusia 23 tahun diberkas susulan serbuan polis di kediamannya di Felda Pasoh Tiga, Jempol, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, hasil serbuan itu, polis merampas 245 bungkusan plastik berisi daun ketum seberat 58 kilogram.

Menurutnya, rampasan ketum itu adalah yang terbesar di daerah ini pada tahun ini.

"Suspek dipercayai mahu menjual daun ketum berkenaan namun tidak sempat melakukannya. Malah suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas.

"Suspek dipercayai memperolehi bekalan daun ketum berkenaan dari sebuah negeri di Utara Tanah Air dan menjualnya di sekitar tanah rancangan FELDA berhampiran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di sini, semalam.

Mohd Khairiel berkata, nilai rampasan ketum itu dianggarkan RM5,000 manakala suspek turut positif dadah jenis syabu.

Katanya, suspek ditahan reman bermula semalam hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 8:02 PM