MUHAMAD Ekral hilang daripada rumah sewanya. FOTO IHSAN KELUARGA
MUHAMAD Ekral hilang daripada rumah sewanya. FOTO IHSAN KELUARGA
Mohamed Farid Noh


JOHOR BAHRU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran hilang dari rumah sewanya di Flat Taman Johor Jaya, dekat sini, awal pagi, 12 Ogos lalu.

Muhamad Ekral Abdul Rahim, 30, dipercayai keluar dari rumah dipercayai kira-kira jam 2 pagi, ketika kesemua rakan serumahnya sedang tidur.

Kakaknya, Mas Ayu Abdul Rahim, berkata Muhamad Ekral yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik, berasal dari Batu Kurau, Perak baru tiba di Johor Bahru pada 8 Ogos lalu untuk bekerja sebagai pekerja penyelenggaraan.

Katanya, adiknya itu pertama kali berjauhan dari keluarganya selepas mendapat tawaran pekerjaan di Johor Jaya.

"Adik lelaki saya OKU pembelajaran atau lembam namun fizikalnya seperti lelaki normal dan mampu bekerja seperti orang lain.

"Sebelum ini Muhamad Ekral berpengalaman bekerja di sekitar Batu Kurau sebelum dapat tawaran kerja di Johor Jaya sejak 8 Ogos lalu.

"Semuanya berjalan lancar malah majikannya turut memuji kerajinan Muhamad Ekral menjalankan tanggungjawabnya sehinggalah dia hilang selepas dipercayai keluar dari rumah sewanya di Flat Taman Johor Jaya, awal pagi Rabu lalu.

"Sebaik menyedari kehilangan mangsa keesokan paginya, rakan serumahnya melakukan pencarian di sekitar Johor Jaya sebelum memaklumkan kami namun gagal menemuinya sehinggalah hari ini, " katanya ketika dihubungi.

Mas Ayu berkata, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Taman Johor Jaya pada hari kejadian dan usaha menjejaki mangsa masih terus dijalankan.

Katanya, beliau dan keluarganya dari Perak dan Pahang turut turun ke Johor Jaya sejak semalam bagi mengesan adiknya itu namun masih gagal ditemui.

"Kami sekeluarga sudah pulang semula ke Perak dan Pahang tadi, namun adik bongsu masih di Johor Jaya bagi membantu mengesan abangnya.

"Adik saya mungkin tersesat mencari arah balik ke rumah sewanya selepas keluar sebentar pada awal pagi Rabu, malah dia tidak membawa telefon bimbit dan barangan peribadinya.

"Dia tidak mempunyai masalah termasuk dengan rakan serumahnya namun temannya mendakwa sebelum kejadian, Muhamad Ekral ada bercakap seorang diri," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung mangsa atau ada menemuinya diminta menghubungi balai polis berhampiran atau keluarga mangsa ditalian 017-9696243 (Mas Ayu).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 5:44 PM