GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Amalina Alias


TINDAKAN licik dua lelaki cuba menyeludup 1,000 kotak rokok seludup yang disembunyikan dalam timbunan buah gagal, apabila mereka ditahan polis ketika melalui sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malam tadi.

Dalam kejadian 9.15 malam tadi, polis menahan lori bersama pemandu dan kelindan berusia 45 dan 30 tahun dalam sekatan PKP di depan Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan, Mohd Azmir Damiri berkata, ketika sekatan dilakukan, pemandu dan kelindan menaiki lori dari arah Dungun, Terengganu dipercayai menuju ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung, Kota Bharu.

Katanya, lori itu dipenuhi muatan buah nanas dan timun batang namun apabila diperiksa lanjut, polis menemui dua kotak besar rokok seludupdipercayai untuk dipasarkan ke negeri ini.

"Mereka cuba mengaburi polis dengan menyembunyikan kotak besar mengandungi 50 karton rokok dengan jumlah semua 1,000 kotak di bawah timbunan buahan.

"Siasatan awal mendapati pemandu memaklumkan dia hanya menerima upah membawa rokok seludup dan akan ada orang lain akan mengambil stok rokok ini apabila tiba di RTC," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azmir berkata, berdasarkan harga pasaran semasa nilai rampasan membabitkan RM9,000.

Katanya, pemandu dan kelindan itu ditahan reman bermula hari ini selama empat hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Tambah beliau, pihaknya akan memperketat kawalan bagi mengekang aktiviti penyeludupan terutamanya di musim PKP ketika ini di tiga lokasi sekatan PKP di depan Balai Polis Bukit Yong, Kampung Alor Hijau dan Kampung Bukit Ajam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 3:27 PM