GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

PAMPASAN bagi Skim Perlindungan Kesihatan Nasional mySalam (mySalam) yang sudah dibayar kepada pemegang polisi secara keseluruhannya setakat ini bernilai RM31.76 juta.

mySalam adalah inisiatif kerajaan bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada individu kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah berumur 18 hingga 65 tahun yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, pada 2019 sebanyak 2,748 individu mendapat faedah manfaat penyakit kritikal bernilai RM8,000 apabila didiagnos satu daripada 45 penyakit kritikal.

"Setakat 2019, jumlah yang sudah dibayar adalah RM21.98 juta. Penerima manfaat hospitalisasi pula sebanyak 8,946 orang dengan jumlah wang pampasan yang dibayar sebanyak RM3.32 juta," katanya ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Rahim berkata, pada 2020 (sehingga 30 Jun) sebanyak 518 orang mendapat manfaat penyakit kritikal dengan nilai sudah dibayar setakat ini berjumlah RM4.14 juta.

Katanya, bagi manfaat hospitalisasi, sebanyak 6,597 orang menerima faedahnya dengan nilai keseluruhan pampasan dibayar berjumlah RM2.31 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 3:05 PM