GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


DEWAN Rakyat menerima usul bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atas kesalahan tidak memakai pelitup muka di tempat sesak.

Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) membentangkan usul itu mengikut Peraturan 18(1) selepas mengemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon berkata, usul diterima Dewan Rakyat untuk dibahaskan selepas memenuhi tiga syarat utama kerana bersifat tertentu, membabitkan kepentingan orang ramai dan berkehendakkan ia disegerakan.

"Saya sudah meneliti dan mendapati perkara ini tertentu, membabitkan keputusan orang ramai dan berkehendakkan disegerakan, perkara ini perlu disegerakan.

"Saya membenarkan usul ini dibahaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 16(6) dan usul ini akan dibahaskan pada hari ini pada 2.30 petang di Kamar Khas," katanya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum itu, Yii ketika membentangkan usul itu memaklumkan denda RM1,000 dikenakan adalah tinggi dan membebankan terutama bagi rakyat tidak berkemampuan, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar.

Menurutnya, terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai definisi tempat sesak selain penguatkuasaan tidak tentu serta hukuman denda berat kepada golongan kurang berkemampuan terutama B40.

"Usaha ini membabitkan kepentingan orang ramai dan polisi mandatori ini memberikan kesan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama miskin dan kaya.

"Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk meminda akta berkenaan dan menurunkan denda RM1,000 khususnya bagi kesalahan tidak memakai pelitup mula di tempat sesak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 12:30 PM