BOT nelayan Vietnam yang ditahan kerana melakukan aktiviti menangkap di perairan negara. FOTO Juwan Riduan
BOT nelayan Vietnam yang ditahan kerana melakukan aktiviti menangkap di perairan negara. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan bot nelayan bersama 25 kru warga Vietnam dan merampas empat tan ikan dalam Operasi Naga Timur dan Operasi Sejahtera, semalam.

Bot nelayan Vietnam itu ditahan bot peronda APMM di kedudukan 29 batu nautika barat laut Pulau Mantanani, Kota Kinabalu pada jam 4.45 petang.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, rondaan mendapati terdapat bot nelayan asing itu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding.

Katanya, ketika pemeriksaan mendapati 25 awak-awak termasuk tekong warga Vietnam berusia 18 hingga 50 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

"Selain itu bot berkenaan juga tidak mempunyai sebarang dokumen atau apa-apa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

"Pemeriksaan seterusnya bot itu membawa hasil tangkapan dianggarkan sebanyak empat tan ikan pelbagai jenis," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bot dan awak-awak ditahan dan dibawa ke Jeti APMM di Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

"Ujian saringan Covid-19 juga dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas anggota bot peronda maritim dan semua kru bot nelayan Vietnam.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dari Januari hingga Julai 2020, sebanyak lima kes pencerobohan bot nelayan asing direkodkan oleh APMM.

"Maklumat pencerobohan bot nelayan asing ini adalah hasil daripada pengesahan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) yang dipasang di beberapa pulau di sekitar perairan Sabah.

"Usaha APMM mengekang pencerobohan bot nelayan asing ini juga adalah bertujuan menjaga kemewahan hasil laut negara khususnya di perairan negeri ini daripada di kaut oleh nelayan asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 8:30 PM