ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Asyraf Hamzah
ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Asyraf Hamzah
Sri Ayu Kartika Amri

GOLONGAN peniaga dinasihatkan supaya mematuhi arahan menjual pelitup muka pada kadar siling RM1 seperti ditetapkan kerajaan bermula hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, hebahan mengenai penurunan harga itu juga sudah dimaklumkan sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, peniaga tidak boleh memberi alasan mengatakan tidak tahu mengenai harga terbaharu pelitup muka yang dijual di pasaran.

"Setakat petang ini, KPDNHEP belum menerima maklumat terkini mengenai ketidakpatuhan penjualan pelitup muka pada harga baru itu dan pemantauan secara berterusan akan kita buat.

"Saya harap, penjual tidak menghadapi masalah kerana kami sudah memaklumkan penurunan harga pelitup muka lebih awal dan perkara ini turut dibincangkan di Parlimen.

"Penurunan harga pelitup muka secara berkala ini juga mengambil kira kepentingan pelbagai peringkat melalui pengguna dan pemain industri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Program Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Selangor Tahun 2020 bersama Tesco di Petaling Jaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Tesco Malaysia, Sushmita Paul.

Berkuat kuasa hari ini, harga siling pelitup muka tiga lapis di peringkat runcit diturunkan kepada RM1 seunit dan 95 sen seunit bagi harga borong.

Sementara itu, Nanta Linggi berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif bagi memastikan sektor peruncitan kembali berdaya saing dan mampu mengekalkan sumbangan besar besar kepada ekonomi negara.

Katanya, Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia (KBBM) tahun ini melaksanakan pelbagai strategi dan mekanisma dalam memperkenalkan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan ke dalam sektor peruncitan menerusi kerjasama dengan syarikat peruncitan utama di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 5:08 PM