GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Baharom Bakar


INDIVIDU berusia 18 tahun ke atas layak menawarkan diri untuk bertanding di peringkat Dewan Undangan negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum-15 (PRU15).

Kelayakan belia berusia 18 tahun ke atas untuk bertanding mewakili mana-mana parti pada PRU akan datang diluluskan selepas kerajaan meminda Enakmen Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan negeri (Bab Yang Pertama), (Pindaan) 2020, pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-14, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahari Mamat berkata, Terengganu adalah negeri terawal meminda enakmen itu bagi membolehkan belia berusia 18 tahun ke atas mewakili parti untuk bertanding pada PRU akan datang.

Bagaimanapun, jelasnya, pindaan enakmen itu hanya sah untuk bertanding di peringkat DUN.

"Sebelum pindaan enakmen itu dilakukan, hanya individu berusia 21 tahun ke atas saja layak mewakili parti untuk bertanding pada PRU," katanya ketika ditemui selepas mengemukakan usul pindaan enakmen itu pada Persidangan DUN, hari ini.

Usul dikemukakan Satiful Bahari yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Paka itu diluluskan sebulat suara oleh 31 Adun, termasuk 10 wakil daripada Barisan Nasional (BN).

Ketika mengulas mengenai individu berusia 18 tahun untuk bertanding di kerusi parlimen, Satiful Bahari berkata, mereka juga layak menawarkan diri bertanding di peringkat parlimen.

Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 sudah dibentang dan diluluskan pada persidangan dewan rakyat serta dewan negara, pada 25 Julai tahun lalu.

"Dengan kelulusan itu, golongan berkenaan bukan saja layak mengundi secara automatik, sebaliknya turut menawarkan diri untuk bertanding di peringkat parlimen dan Dun di negeri ini.

"Kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada semua golongan belia berusia 18 tahun ke atas dan mereka kini berpeluang untuk menjadi wakil rakyat jika memenangi kerusi di peringkat Dun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 3:41 PM