GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


HASIL siasatan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati aktiviti penjajaan mengganggu laluan awam khususnya di Jalan Kuantan di Kuala Lumpur kerana beroperasi di atas laluan pejalan kaki.

Sebelum ini tular di media sosial satu video bertajuk 'Di mana Sifat Kemanusiaan - #Pembela' yang mengaitkan tindakan anggota penguat kuasa DBKL yang melakukan tindakan penguatkuasaan di Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kejadian dirakamkan pada 8 Ogos susulan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan di Taman Tasik Titiwangsa bermula pada 7 hingga 9 Ogos lalu.

"Untuk makluman, seminggu sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan, DBKL mengeluarkan amaran awal secara lisan dan bertulis kepada semua aktiviti perniagaan tanpa lesen di kawasan berkenaan.

"Ini susulan aduan awam yang diterima kerana aktiviti ini mengganggu laluan awam," katanya.

Menurutnya, aktiviti penjajaan itu mengganggu laluan awam khususnya di Jalan Kuantan kerana beroperasi di atas laluan pejalan kaki.

"Jika tidak dikawal dan dibendung, ia akan membahayakan pejalan kaki kerana mereka terpaksa berjalan atas jalan raya disebabkan halangan penjaja ini.

"Amaran lisan dan bertulis ini turut dikeluarkan kepada pengusaha basikal sewa yang beroperasi tanpa lesen," katanya.

Katanya, pada hari kejadian anggota penguat kuasa DBKL membuat rondaan di lokasi dan mendapati penjaja serta pengusaha basikal yang berada di lokasi akur dan bertindak mengemaskan peralatan dan beredar namun penjaja yang terbabit masih berdegil dan terus berniaga di lokasi.

"Apabila petugas menghampiri dan memaklumkan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan jika masih gagal beredar barulah penjaja berpura-pura mengemas dan menunggu kenderaan tiba namun tiada tanda daripada penjaja untuk beredar.

"Disebabkan penjaja masih gagal mematuhi amaran dikeluarkan, tindakan menyita meja terpaksa diteruskan.

"Tiada sitaan terhadap barangan jualan milik penjaja dilakukan dan sepanjang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan, anggota penguat kuasa DBKL juga membuat rakaman video bagi memastikan tindakan dilakukan mengikut SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan serta bagi mengelakkan sebarang manipulasi fakta oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 1:29 PM