SYAFIQ kini menjalankan perniagaan di Johor Bahru iaitu menjual Nasi Ayam Penyet. FOTO IHSAN KELUARGA
SYAFIQ kini menjalankan perniagaan di Johor Bahru iaitu menjual Nasi Ayam Penyet. FOTO IHSAN KELUARGA
Mohamed Farid Noh


KOS kuarantin tinggi yang perlu dibayar sendiri selain perlu kekal di Singapura selama 90 hari, menyebabkan semakin ramai rakyat Malaysia hilang pekerjaan di republik itu.

Ia ditambah langkah Kementerian Tenaga Manusia Singapura (MOM) yang mengetatkan syarat pembaharuan permit kerja warga asing menyebabkan semakin ramai pekerja Malaysia gagal memperbaharui permit mereka.

Bekas Pembantu produksi sektor elektrik di Singapura, Nur Hamidah Jamal, 30, berkata lebih 5,000 rakyat Malaysia kehilangan kerja di republik berkenaan berikutan dua faktor itu di samping majikan enggan lagi membayar kos tempat tinggal selain kos kuarantin.

Katanya, dia perlu membayar kos kuarantin 14 hari berjumlah SGD2,800 (RM8,567.78) selain perlu menanggung sendiri tempat tinggal selama 90 hari di republik itu yang memerlukan kos amat tinggi.

"Kebanyakan majikan Singapura memaklumkan mereka tidak mampu lagi menampung bayaran tempat tinggal pekerja Malaysia selepas berbuat demikian sejak Mac lalu.

"Masih ada segelintir majikan Singapura yang terus menampung bayaran tempat tinggal dan kuarantin pekerja Malaysia namun ia membabitkan golongan profesional yang amat diperlukan sahaja.

"Daripada saya membayar sehingga SGD2,800 kos kuarantin dan kos tempat tinggal selama 90 hari atau lebih, saya lebih rela kehilangan kerja di republik itu dan wang simpanan yang ada dijadikan modal berniaga," katanya.

Berita Harian Singapura semalam melaporkan, majikan di republik itu kini tersepit untuk mengekalkan atau mengambil pekerja Malaysia berikutan perlu menampung kos yang tinggi iaitu sekurang-kurangnya SGD5,000 (RM15,300.21) bagi setiap pekerja setiap bulan.

Di bawah Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang dipersetujui kedua-dua negara, pekerja Malaysia perlu menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sekurang-kurangnya selama tujuh hari dan menetap di republik itu sekurang-kurangnya 90 hari.

Sementara itu, Muhammad Syafiq Jaafar, 28, bekas pembantu pengurus sebuah restoran di Orchard Road, Singapura berkata, dia memutuskan untuk berhenti kerja di republik berkenaan berikutan faktor keadaan yang masih tidak menentu selain terpaksa menampung kos kuarantin dan tinggal di sana yang mahal.

"Sejak sempadan Malaysia-Singapura ditutup Mac lalu, saya menjual nasi ayam penyet di Johor Bahru dengan menggunakan pengalaman dan kemahiran sepanjang dua tahun bekerja di restoran di sana.

"Saya ada menerima tawaran untuk kembali bekerja di tempat lama sekiranya sempadan dibuka semula,

namun, setakat hari ini, saya memutuskan untuk tidak kembali memandangkan perlu menanggung kos kuarantin sendiri.

"Kos sara hidup di sana juga tinggi sekiranya perlu tinggal dan menjalani kuarantin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 2:33 PM