Amir Abd Hamid


KIRA-KIRA RM362.79 juta diperuntukkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) untuk membantu lebih 20,000 golongan peniaga yang gagal meneruskan perniagaan akibat Covid-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pelan pemulihan itu mengandungi 29 program jangka pendek dan sederhana.

Menurutnya, langkah alternatif dan program mitigasi yang dilaksanakan Medac merangkumi program pembiayaan, latihan dan pembangunan kapasiti bagi pelaksanaan tahun ini dan tahun depan.

"Objektif utama pelaksanaan pelan pemulihan ini adalah bagi memastikan pemulihan serta kelestarian operasi perniagaan usahawan yang terjejas akibat Covid-19," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) yang meminta kerajaan menjelaskan langkah alternatif oleh Medac bagi membantu peniaga yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Mas Ermieyati berkata, pelaksanaan pelan berkenaan membabitkan dua fasa iaitu pertama bermula Mei lalu hingga Disember ini manakala kedua bermula Januari hingga Mei tahun depan.

Katanya, antara program yang dilaksanakan adalah Pembiayaan Covid Business Recovery-Micro (CBRM), Program Tekun Business Recovery Scheme (TBRS) dan Program Tekun Mobilepreneur di bawah TEKUN Nasional.

"Program lain adalah SME Technology Transformation Fund (STTF) dan Skim SME GO di bawah SME Bank manakala BR-CARES dan BizLady khusus untuk usahawan wanita di bawah Bank Rakyat," katanya.

Menjawab soalan tambahan Hasbullah sama ada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional merancang untuk menurunkan lagi kadar faedah pinjaman bagi mengurangkan lagi beban peniaga, Mas Ermieyati berkata perkara itu sedang diperhalusi.

"Tambahan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sebanyak RM100 juta dikenakan 3.5 peratus setahun dan ia lebih rendah daripada kadar caj Tekun sedia ada iaitu empat peratus.

"Untuk hal ini, Tekun dalam perancangan untuk menurunkan lagi kadar caj ini sebab memang ada permintaan dan ramai yang memohon perkara ini.

"Selain itu, Tekun akan turut memberikan rebat kepada peminjam yang membayar balik pinjaman mengikut jadual ditetapkan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Karupaiya Mutusami (PKR-Padang Serai) mengenai apakah lagi usaha dilakukan Tekun untuk membantu golongan peniaga, Mas Ermieyati berkata, pelbagai usaha sedang dan sudah dilaksanakan.

"Sebagai contoh, proses permohonan Tekun Niaga sebelum ini memerlukan 17 dokumen namun menerusi TBRS, hanya perlu empat dokumen dan tempoh pemprosesan juga dipendekkan antara lima hingga tujuh hari," katanya.

DATUK Mas Ermieyati Samsudin. FOTO NSTP
DATUK Mas Ermieyati Samsudin. FOTO NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 2:08 PM