AHMAD ketika persidangan DUN kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD ketika persidangan DUN kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


KERAJAAN Kelantan bercadang mengenakan cukai terhadap sebarang kabel atau paip utiliti yang ditanam dalam bumi atau laut, bagi menambah hasil kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, ia boleh dilakukan selepas kerajaan negeri menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750).

"Dengan adanya kita menolak Akta 750, Insya-Allah kita akan kenakan (cukai) kepada mana-mana struktur atau laluan paip dan sebagainya dalam bumi dan dalam laut untuk mendapatkan hasil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Sebagai rekod, pada 2015 kerajaan negeri menolak Akta 750 selepas mendakwa Kerajaan Persekutuan mengambil peluang untuk mengehadkan sempadan perairan negeri kepada tiga batu nautika.

Terdahulu, Md Alwi mengemukakan soalan tambahan sama ada kerajaan negeri mahu mengenakan cukai kepada semua kabel utiliti bawah tanah kepada syarikat komunikasi, gas atau kabel optik.

"Pada saya kalau ini dijadikan satu akta mengutip cukai kepada sesiapa yang menggali dan pasang kabel. Kalau ini boleh dibuat, yang membayar cukai adalah syarikat besar dan bukan orang kampung," katanya.

Pada masa sama, ketika menjawab soalan Mohd Adanan Hassan (PAS-Kelaboran) mengenai usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan hasil, Ahmad (PAS-Pasir Pekan) berkata, antara langkah yang diambil adalah melaksanakan persempadanan semula kategori tanah di semua jajahan bersesuaian.

"Pada masa sama, kita mempercepatkan proses pemilikan tanah kepada pelanggan individu, anak-anak syarikat dan agensi negeri serta agensi Kerajaan Persekutuan.

"Kita juga percepatkan pemberi milikan tanah kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau syarikat telekomunikasi yang membabitkan segala struktur utiliti.

"Antara lain, kita juga menguatkuasakan caj penggunaan bagi sebarang aktiviti binaan yang membabitkan hutan simpan kekal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 12:13 PM