MUHAMMAD Nur Mirza (tengah) dan Muhammad Nur Izzat menunjukan surat tawaran melanjutkan ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) kepada ibunya Sharimah Ali Man pada hari pendaftaran di UMP Gambang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
MUHAMMAD Nur Mirza (tengah) dan Muhammad Nur Izzat menunjukan surat tawaran melanjutkan ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) kepada ibunya Sharimah Ali Man pada hari pendaftaran di UMP Gambang. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


PASANGAN kembar lelaki seiras antara 822 penuntut Program Diploma Sesi Akademik 2020/2021 Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang mendaftar masuk pusat pengajian tinggi berkenaan, semalam.

Pendaftaran secara pandu lalu yang pertama kali diperkenalkan itu bermula pada 9 pagi dan selesai kira-kira lapan jam kemudian dengan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, sesi pendaftaran dalam norma baharu dilakukan dengan hampir semua proses dilakukan dalam kenderaan bagi memastikan tidak berlaku kesesakan dalam satu masa.

Menurutnya, selepas selesai urusan pendaftaran, penuntut dihantar ke asrama tanpa perlu dibantu keluarga, pematuhan SOP seperti penjarakan fizikal, penggunaan pelitup muka dan cecair pensanitasi tangan sentiasa diberi perhatian bagi mengelak sebarang kemungkinan.

"Sesi pertama pendaftaran diadakan pada 1 Ogos lalu membabitkan 252 penuntut dan selebihnya 570 penuntut mendaftar semalam.

"Proses berkenaan berjalan lancar tanpa masalah dan semua penuntut sudah membuat pengesahan serta pendaftaran secara dalam talian pada 20 hingga 25 Julai lalu.

"Saya berpuas hati dengan perjalanan proses pendaftaran Program Diploma Sesi Akademik 2020/2021 UMP Kampus Gambang kali ini, kerjasama semua pihak melancarkan perjalanan proses terbabit," katanya.

Bagi pasangan kembar Muhammad Nur Mirza Mat Hassan dan Muhammad Nur Izzat, 18, impian mereka untuk melanjutkan pengajian ke menara gading akhirnya menjadi kenyataan apabila terpilih melangkah ke UMP.

"Saya bersyukur apabila kami sama-sama terpilih belajar di UMP dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, peluang yang terhidang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk berjaya dalam bidang akademik.

"Harapan keluarga akan ditunaikan dalam memastikan masa depan kami cemerlang suatu hari nanti," katanya.

Muhammad Nur Mirza berkata, selepas mencatat keputusan 5A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu, impian utama ialah untuk belajar di UMP yang terkenal dengan pencapai penuntutnya sebelum ini.

Katanya, UMP yang terletak tidak jauh dari rumah mereka juga menjadi pendorong untuk memilik universiti berkenaan sebagai tempat menimba ilmu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 4:23 PM